top of page

Anggota Kabinet Persekutuan perlu perjelas 8 perkara dalam Notis Rayuan keputusan 40% – Ewon

  • nabalunews
  • 20 hours ago
  • 2 min read
ree

17 November 2025


KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan bahawa anggota Kabinet Persekutuan perlu tampil menjelaskan lapan perkara yang terkandung dalam Notis Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah.


Ewon, yang juga calon UPKO bagi kerusi N.11 Kadamaian, berkata rakyat Sabah harus menilai sendiri alasan rayuan tersebut sebelum membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini.


“Mesyuarat khas Kabinet yang kamu (Kabinet Persekutuan) adakan telah memutuskan untuk menghormati hak 40 peratus Sabah, saya ucap terima kasih.


“Tetapi mesyuarat yang sama kamu juga memutuskan untuk merayu sebahagian daripada alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu. Ia merupakan notice of appeal (Notis Rayuan) yang kamu failkan di Mahkamah Rayuan pada 13 November baru-baru ini.


“Dalam notis itu terdapat lapan perkara yang kamu mahu cabar selepas keputusan mahkamah. Tugas YB Saudara Anthony (Anthony Loke) sekarang adalah menjelaskan kelapan-lapan perkara ini. Jelaskan kepada rakyat Sabah rayuan kamu ini,” katanya.


Menurutnya, bukan sahaja Setiausaha Agung DAP itu yang perlu menjelaskan alasan-alasan rayuan tersebut, tetapi juga seluruh Kabinet Persekutuan termasuk Perdana Menteri dan para menteri untuk menerangkan alasan rayuan tersebut secara terbuka.


“Rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada mereka menerima penjelasan kamu atau mahu pemimpin Sabah bertegas melaksanakan hak yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu,” tegasnya.


Ewon turut menjawab kenyataan Anthony sebelum ini yang mendakwa beliau bermain “wayang politik” dan memainkan sentimen 40 peratus serta gagal hadir ke mesyuarat khas Kabinet.


Beliau menegaskan isu 40 peratus itu bukan baharu dibincangkan, malah telah beberapa kali dibawa ke Kabinet sejak lewat 2022, 2023, 2024 dan selepas keputusan mahkamah tahun ini.


“Selama tiga tahun ini, saya konsisten menyatakan bahawa hak 40 peratus tidak sama dengan peruntukan pembangunan di bawah Federal List. Jawapannya sama seperti yang diberikan di Gaya Street.


“Tetapi selama tiga tahun ini, apa suara YB Saudara Anthony? Pernahkah beliau menyatakan pendirian tegas mempertahankan hak 40 peratus Sabah?” katanya.


Ewon berkata, pendiriannya mengenai Sabah sentiasa jelas, termasuk menegaskan bahawa sebarang rang undang-undang yang memberi implikasi besar kepada negeri itu mesti mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri.


Beliau berkata keputusan beliau meletakkan jawatan dan membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan adalah mesej tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pentingnya menghormati hak Sabah.


“Saya tidak mahu menjadi hero. Hero sebenar adalah Sabah Law Society, dan juga pemuda di Gaya Street yang bertanya kepada Perdana Menteri, ‘Bila mahu bayar 40%?’,” katanya.


Sebagai Presiden UPKO, beliau berkata perjuangannya adalah memastikan pembayaran segera hak 40 peratus untuk pembangunan Sabah, menangani kemiskinan, membuka peluang ekonomi dan mewujudkan pekerjaan kepada anak muda negeri Sabah.


“Saya menghormati perbezaan pendirian kita, tetapi harus ada sempadannya. Inilah red line saya,” katanya.


Ewon turut mendoakan agar Anthony dan rakan-rakan Kabinet diberikan kesihatan serta kekuatan untuk memimpin negara dan menunaikan tanggungjawab mengembalikan hasil Sabah kepada rakyat Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page