top of page
nabalunews

Angin kencang, lapan rumah di Kampung Sayap rosak teruk


6 November 2024


KOTA BELUD: Lapan rumah penduduk di Kampung Sayap, Kota Belud mengalami kerosakan teruk akibat dilanda angin kencang pada 23 dan 25 Oktober lalu.


Kejadian itu menyebabkan atap beberapa rumah diterbangkan angin, termasuk Rumah Sidang SIB Sayap dan Dewan Komuniti Kampung Sayap.


Susulan kejadian ini, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, melawat kampung tersebut pada Selasa, 5 November lalu bagi meninjau keadaan dan memberikan sokongan moral kepada keluarga yang terkesan.


Lawatan beliau turut disertai oleh

Pemaju Masyarakat N11 Kadamaian, Clarence Somuil, serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sayap, Aming Gamburus.


Menurut Aming, angin kencang yang berlaku pada dua hari yang berasingan itu menyebabkan kerosakan teruk pada sebuah rumah penduduk, di mana keseluruhan atap rumah diterbangkan fenomena cuaca itu.


Kejadian itu menyebabkan kesulitan besar kepada keluarga terbabit, yang kini memerlukan bantuan untuk membaik pulih kediaman mereka.


Dalam pertemuan dengan penduduk terjejas, Saikom menasihatkan mereka untuk segera membuat laporan polis sebagai dokumen sokongan.


Ini penting bagi memudahkan proses permohonan bantuan bencana dibuat melalui Pejabat Kebajikan Daerah Kota Belud.


Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat ADUN Kadamaian akan berusaha mencari bantuan alternatif bagi keluarga yang mungkin tidak layak menerima bantuan melalui saluran rasmi kerajaan.


Lawatan ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab pemimpin dalam membantu komuniti yang ditimpa musibah bagi memastikan keluarga terjejas menerima bantuan sewajarnya agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih tenang setelah mengalami episod malang dan

pengalaman yang sukar ini.

Comments


bottom of page