Anwar bidas kerajaan mahu hadiahkan RM100 juta kepada Najib
18 November 2021
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Pengesahan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kabinet sebulat suara telah menerima satu permohonan untuk menghadiahkan sebidang tanah dan sebuah rumah kepada Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak yang dianggar bernilai RM100 juta, amat mengejutkan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkara itu tidak pernah dibincang atau dimaklumkan dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.
“Pada saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak yang masih tidak jelas nasib mereka, anak-anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa, tindakan Kabinet untuk ‘menghadiahkan’ tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan yang paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.
“Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Ahli Parlimen Pekan telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.
“Malah beliau sehingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anwar berkata: “Keputusan yang amat mengejutkan itu memaksa kami untuk mengkaji semula segala bentuk persefahaman yang wujud sehingga kini”.
Comments