Anwar gesa IPT dan universiti kerjasama dengan kerajaan dalam memacu ekonomi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar gesa IPT dan universiti kerjasama dengan kerajaan dalam memacu ekonomi


6 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


BUTTERWORTH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memacu kemajuan ekonomi negara.


Beliau berkata, kerajaan memerlukan input, teguran, dan kritikan daripada akademik dan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.


Beliau juga berkata, kerajaan akan meminta laporan terperinci daripada IPT dan universiti mengenai bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik yang dimiliki supaya dapat dipadankan dalam pentadbiran kerajaan.


“Kepakaran universiti ini mesti diangkat sepenuhnya kerana ini belum dilakukan dan ini menjadi kerugian kepada negara,” katanya.


Beliau berucap pada Majlis Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke-16 (PERKEM 16) yang bertemakan ‘Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik’.


Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman.


Tambah Anwar, beliau juga akan meminta input daripada IPT dan universiti dalam merangka Bajet Madani 2.0 yang akan dibentangkan pada Oktober ini.


Beliau juga memberi contoh bagaimana China telah memanfaatkan sinergi antara kerajaan dan universiti dalam membangunkan negara mereka.


“Andaiannya, jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbuhan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page