top of page

Pengeluaran getah asli turun 24.1 peratus pada Februari 2026

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 2 min read

13 April 2026


PUTRAJAYA: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 24.1 peratus pada Februari 2026 kepada 21,705 tan, berbanding 28,579 tan pada Januari 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 39.7 peratus berbanding 36,005 tan pada Februari 2025.


Katanya, pengeluaran pada Februari 2026 sebahagian besarnya disumbangkan oleh pekebun kecil iaitu 87.0 peratus, manakala estet menyumbang 13.0 peratus.


“Jumlah stok getah asli pada Februari 2026 meningkat 3.3 peratus kepada 139,985 tan berbanding 135,534 tan pada bulan sebelumnya.


“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 78.5 peratus diikuti kilang pengguna getah (21.4 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” katanya dalam kenyataan Perangkaan Getah Bulanan yang dikeluarkan DOSM hari ini.


Menurut Mohd Uzir, eksport getah asli Malaysia berjumlah 33,897 tan pada Februari 2026, menurun 20.0 peratus daripada 42,386 tan pada Januari 2026.


Jelasnya, China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Februari 2026, diikuti Jerman (17.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (10.1 peratus), Portugal (3.5 peratus) dan Brazil (3.2 peratus).


“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.


“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM0.9 bilion pada Februari 2026, menurun 23.9 peratus berbanding Januari 2026 (RM1.2 bilion),” katanya.


Beliau berkata, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat naik 1.8 peratus kepada 586.69 sen sekilogram (Januari 2026: 576.14 sen sekilogram) manakala sekerap meningkat 2.0 peratus kepada 631.13 sen sekilogram (Januari 2026: 618.72 sen sekilogram).


Tambahnya, Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga Februari 2026 bagi getah TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 4.5 peratus daripada US$1.84/kg kepada US$1.93/kg, manakala Singapura/Malaysia meningkat 5.4 peratus (daripada US$2.14/kg kepada US$2.26/kg).


Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Februari 2026, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur, dengan sentimen positif disokong oleh penurunan pengeluaran tahun ke tahun yang menyebabkan bekalan global semakin berkurang.


“Permintaan dijangka melebihi penawaran pada 2026, sekali gus memberikan sokongan asas kepada pasaran. Isyarat ekonomi yang stabil termasuk jangkaan pertumbuhan konsisten di China serta kenaikan harga minyak mentah turut mengukuhan sentimen pasaran.


“Bagaimanapun, permintaan daripada sektor automotif kekal lemah berikutan pengeluaran tayar di China yang berkurangan semasa cuti Tahun Baharu Lunar serta penurunan penjualan kenderaan termasuk kenderaan elektrik,” ujarnya.


Katanya, ketidaktentuan perdagangan meningkat susulan rancangan Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif import, manakala ketegangan geopolitik antara AS dan Iran turut menambah tekanan penurunan terhadap pasaran.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page