- Wartawan Nabalu News
Anwar gesa kementerian guna pendekatan baharu tarik minat pelajar dalam sains dan matematik

5 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Kementerian Pendidikan menggunakan pendekatan baharu untuk menarik minat pelajar dalam bidang sains dan matematik, selepas kajian mendapati penurunan minat dalam bidang tersebut.
Beliau berkata, kementerian perlu mendapatkan pemikiran, pandangan dan minat murid dalam pelbagai bidang yang relevan dengan keperluan masa kini.
"Kita perlu menambah minat anak bukan sahaja dari segi penceritaan, teori tetapi dengan penekanan kepada keutamaan bidang sains, matematik dan teknologi. Saya harap ini dapat dilaksanakan walaupun hanya permulaan tapi saya selalu tekankan kalau dengan kaedah mesyuarat dan penjelasan seperti biasa kita akan ketinggalan zaman," katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 di sini semalam.
Jelas Anwar, dalam usaha kerajaan mencatat pertumbuhan seperti pelaburan baharu, ia harus diiringi dengan pendidikan.
“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya putuskan supaya kementerian menyelaras dengan semua pusat pendidikan kerajaan, swasta dan universiti bagi memanfaatkan kekuatan mereka, tidak bergerak secara silo, cuba memberi ruang supaya boleh mendatangkan minat pendidikan sains dan teknologi yang terbaik yang boleh kita berikan.
“Kementerian tugasnya besar iaitu menyelaras dan menghubung institusi sains bukan sahaja diasaskan kerajaan tetapi juga mengenal pasti beberapa institusi lain dan syarikat swasta, terutama universiti,” katanya.