Anwar kemuka usul hilang kepercayaan ke atas Perdana MenteriAnwar kemuka usul hilang kepercayaan ke atas Perdana Menteri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar kemuka usul hilang kepercayaan ke atas Perdana Menteri



29 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan usul hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Dewan Rakyat, hari ini.


Usul tersebut diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada jam 3 petang tadi sejurus selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara tengah hari tadi.


Beliau berkata, Ahli-ahli Dewan Rakyat hari ini mengambil maklum dan menjujung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa permohonan pembatalan semua ordinan darurat berkuatkuasa pada 21 Julai dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen.


“Kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan di Parlimen, bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang malah telah membelakangi fungsi dan kuasa YDP selaku ketua utama negara seperti tertakluk dalam perlembagaan persekutuan,” katanya.


Menurut Anwar, usul berkenaan adalah supaya Tan Sri Muhyiddin dipecat daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri dengan segera menurut perlembagaan persekutuan.


"Saya akan membaca usul ke arah pemecatan itu pada hari ini, namun tiga kali hari ini, dewan ditangguhkan semata-mata untuk elakkan perbahasan.


"Pelbagai helah oleh Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat untuk melengah dan menangguhkan dan cuba ingkar terhadap perintah Yang di-Pertuan Agong.


"Termasuklah langkah baharu oleh Ketua Pengarah Kesihatan. Saringan boleh diadakan tetapi tidak ada sebab harus ditangguhkan (persidangan Dewan Rakyat). Saringan boleh diadakan dan kita tidak bantah saringan," katanya.


Sementara itu persidangan Dewan Rakyat sekali lagi terpaksa ditangguhkan sehingga jam 5.15 petang kerana kesemua Ahli Parlimen perlu menjalani ujian saringan Covid-19 berikutan dikhuatiri berlaku penularan jangkitan.


Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan perkara tersebut setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kenyataan pada tengah hari tadi.


KKM memaklumkan terdapat dua kes positif baharudikesan, kes pertama melibatkan petugas Parlimen yang hadir sejak 26 Julai hingga 28 Julai dan kes kedua dikesan hari ini semasa saringan kendiri di Parlimen.


Susulan itu, persidangan ditangguhkan bagi membuat ujian saringan terhadap semua yang hadir kerana penilaian risiko mendapati kedua-dua kes tersebut berada di sekitar Parlimen.

bottom of page