Anwar: Konvensyen antara parti-parti Kerajaan Perpaduan akan diadakan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar: Konvensyen antara parti-parti Kerajaan Perpaduan akan diadakan


20 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebuah konvensyen antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan untuk menjamin keselarasan gerak langkah dan arah tuju dalam mentadbir negara.


Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, konvensyen tersebut juga bertujuan untuk menyelaraskan pemikiran dan dasar antara parti-parti yang membina Kerajaan Perpaduan.


"Kita akan berunding dengan ketua-ketua parti melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk melaksanakan konvensyen ini kelak," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, di sini, semalam.


Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Pemimpin utama lain yang turut serta ialah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Anwar juga mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid dan seluruh kepimpinan UMNO atas kejayaan yang dicapai pada pemilihan parti itu bagi sesi 2023-2026 yang telah berakhir semalam.


"Ini satu kejayaan yang menggalakkan dan pastinya akan memperkukuh lagi Kerajaan Perpaduan," katanya.


Ditanya mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan pembahagian kerusi bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri berkata, semua perbincangan berjalan dengan baik setakat ini.


"Perbincangan masih lagi dalam proses, berlangsung lancar dan kita akan muktamadkan dalam masa terdekat... kita tidak bincang secara mendalam (semalam), Jawatankuasa Pilihan Raya Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan, terus bincang,” katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page