Anwar mahu sistem perolehan aset tentera dirombak elak komisen keterlaluan
1 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dirombak agar tiada pihak luar akan dapat komisen berlebihan yang merugikan negara.
Beliau berkata, sistem perolehan itu perlu dirombak kerana kesiapsiagaan aset pertahanan negara seperti kapal, pesawat dan kereta kebal tidak sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan geopolitik Malaysia.
Jelas Anwar, beliau telah mengarahkan pimpinan tentera untuk memilih kelengkapan aset yang terbaik.
"Jadi kita anjurkan (sarankan) kepada pimpinan tentera bahawa sistem perolahan mesti dirombak, tidak boleh lagi campur tangan daripada pihak luar.
“Ketua-ketua turus dipertanggungjawabkan untuk memilih kapal perang, pesawat, kereta kebal dan kelengkapan lain yang terbaik dan tidak lagi mengulangi kerenah, merompak melalui komisen keterlaluan sehingga kelengkapan kita ini kurang keupayaan untuk medan pertahanan yang mantap," beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur pada kelmarin.
Tambah beliau, dalam menjaga kestabilan dan keamanan negara, keupayaan aset pertahanan adalah satu perkara yang tidak boleh dimungkiri (dipandang remeh), walaupun beliau pasti ada pihak yang akan meremehkan usaha kerajaan menambah peruntukan perbelanjaan bagi memperkasakan keupayaan ATM.
"Saya ingin beritahu di sini, tanggungjawab kita ialah untuk memberikan satu gambaran dan dasar serta menetapkan dasar agar keupayaan keselamatan dan pasukan pertahanan negara lengkap dan mantap. Jadi hentikan cara dan amalan lama. Saya tidak peduli walaupun kita disanggah (dilawan) di luar kerana kita bicara (bertegas) tentang soal tatakelola rasuah dan komisen berlebihan," tegasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta tahun ini untuk menaik taraf kelengkapan dan rumah daif pasukan tentera, serta RM40 juta untuk perumahan polis termasuk di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
"Kalau tidak, kita minta mereka mempertahankan negara tetapi kita masih dengar kemudahan-kemudahan asas yang tidak lengkap," katanya.
תגובות