top of page

Anwar teruskan lawatan kerja ke Brazil, hadiri Sidang Kemuncak BRICS

  • nabalunews
  • Jul 5, 2025
  • 2 min read

5 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan Lawatan Kerja ke Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 yang akan berlangsung dua hari bermula hari ini.


Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Anwar hadir atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva selaku Pengerusi BRICS bagi tahun 2025.


Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dan Ahli Parlimen Paya, Besar Datuk Mohd. Shahar Abdullah.


“Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 ini adalah selaku Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025.


“Sidang Kemuncak ini merupakan mesyuarat pertama Ketua-ketua Negara dan kerajaan daripada Negara-negara anggota dan Negara-Negara rakan BRICS, termasuk Malaysia yang secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari 2025,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


Di bawah Kepengerusian Brazil, BRICS akan memberi tumpuan kepada enam keutamaan utama iaitu kesihatan global, perdagangan, pelaburan dan kewangan, perubahan iklim serta kecerdasan buatan.


Selain itu, antara tumpuan lain adalah reformasi tonggak Keselamatan dan Keamanan dalam Hubungan Pelbagai Hala, dan Pembangunan Institusi BRICS.


“Tumpuan ini adalah selari dengan keutamaan-keutamaan nasional Malaysia dan komitmen berterusan Negara terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan.


“Malaysia akan berkongsi pandangan dan keutamaan strategik Negara mengenai cabaran-cabaran global penting semasa Sidang Kemuncak ini,” katanya.


Menurut Wisma Putra, Anwar dijadualkan menyampaikan kenyataan negara dalam sesi ‘Strengthening Multilateralism, Economic-Financial Affairs, and Artificial Intelligence’ dan ‘Environment, COP30 and Global Health’.


“Intervensi Perdana Menteri ini mencerminkan komitmen teguh Malaysia dalam memperkukuh multilateralisme dan memperjuangkan suara dan kepentingan negara-negara membangun, sejajar dengan matlamat teras BRICS 2025,” katanya.


“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, akan berusaha memperkukuh jalinan kerjasama antara ASEAN dan BRICS bagi mempertingkatkan kerjasama serantau dan perkongsian ekonomi serta menyumbang kepada usaha kolektif ke arah ekonomi global yang lebih adil dan mampan," jelasnya.


Anwar turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Negara-Negara Anggota dan Negara-Negara Rakan BRICS, serta mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat Brazil dan Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page