Anwar: Tiada menteri dalam Kerajaan Perpaduan terlibat amalan menyalahi tata kelola, tadbir urus

8 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya, yang tidak menunjukkan sebarang unsur sabotaj atau nafsu serakah.
Beliau berkata, dalam tempoh tujuh bulan pemerintahan beliau, tiada seorang pun menteri yang terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola, seperti menyakau kontrak kerajaan, rasuah atau ketirisan.
"Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 Peringkat Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Anwar juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh PKR, DAP, UMNO, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak, telah menunjukkan semangat perpaduan dan kepentingan rakyat dalam membuat keputusan.
"Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (daripada) UMNO, tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu, dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.
Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, disokong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, disokong Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat," katanya lagi.
Beliau juga menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion sebagai salah satu usaha untuk membantu agensi tersebut.
Comments