Anwar umum pembahagian kerusi PRN selesai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Anwar umum pembahagian kerusi PRN selesai


12 July 2023 Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah selesai dan pengumuman calon akan dibuat dalam masa terdekat.


Beliau berkata, kerajaan perpaduan yang dipimpinnya telah bermesyuarat malam tadi dan bersetuju dengan formula pembahagian kerusi yang adil dan berpatutan.


"Kita telah muktamadkan di semua negeri, ada satu dan dua negeri sahaja kita akan bincang dan hari ini selesai. Pengumuman calon dalam dua ke tiga hari lagi kita bagi tarikh," katanya.


Beliau juga yakin bahawa kerajaan perpaduan akan dapat mempertahankan tiga negeri yang dikuasai iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta menawan beberapa negeri lain yang kini diperintah oleh Perikatan Nasional.


"Kita nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain," katanya.


Beliau berkata, tema kempen pilihan raya kerajaan perpaduan adalah 'Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran' manakala manifesto pilihan raya akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.


Anwar menegaskan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah sebuah jenama tetapi sebuah wasilah untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.


"Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak menggunakan sentimen perkauman yang sempit atau agama secara melulu serta jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah akan ada perubahan (kerajaan).


"Apa yang disebut di sini yang mewakili majoriti besar Ahli-Ahli Parlimen ialah tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selesai dan tamat selama lima tahun," katanya.


Hari mengundi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan secara serentak pada 12 Ogos ini, dengan 29 Julai sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi awal ialah pada 8 Ogos ini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page