Armizan: 45 daerah masih tiada premis APM, kebanyakannya di Sabah dan Sarawak
5 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebanyak 45 daerah di seluruh negara masih belum memiliki premis Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sendiri.
Beliau berkata kekurangan premis APM ini amat ketara di Sabah dan Sarawak, di mana anggota APM terpaksa menumpang di premis lain atau beroperasi dari rumah kakitangan APM.
Jelas beliau, ini menimbulkan masalah dalam pengurusan bencana kerana APM mempunyai aset-aset yang perlu disimpan dan diselenggara dengan baik.
"Setakat ini, sebanyak 160 daerah sudah memiliki premis APM dan sebagai urus setia di peringkat daerah, semua APM daerah perlu mempunyai premis sendiri untuk beroperasi.
“Ini antara fokus kita sama ada melaksanakan melalui pembinaan (bangunan), kalau tidak pun mencari premis-premis kerajaan sama ada Persekutuan atau negeri yang boleh kita tempatkan pegawai dan kakitangan APM," katanya selepas menutup Bengkel Penyelarasan Operasi dan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di Kota Kinabalu pada Selasa.
Armizan berkata antara alternatif lain adalah, agar pihak swasta dapat memberikan kerjasama dengan meminjamkan premis mereka bagi menempatkan anggota APM di daerah-daerah yang belum ada premis sendiri.
Selain itu, Armizan juga menyentuh mengenai pengurusan makanan semasa bencana, yang merupakan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Pegawai Daerah masing-masing.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada kerajaan negeri bagi memudahkan bantuan diberikan kepada mangsa bencana.
“Masih ada rungutan, kadang-kadang ada rakyat sampai ke pusat pemindahan sementara (PPS) melalui perjalanan yang berliku, apabila sampai di (PPS) makanan terlewat. Tetapi kita tidak boleh juga salahkan JKM kerana untuk mendapatkan bekalan bahan mentah dalam keadaan yang kritikal memang sukar," katanya.
Comentarios