Arnold Jaideh Ungguli Pertandingan Buvazoi Tavantang 2025 dan Rangkul Kemenangan Berganda
- nabalunews
- Apr 24, 2025
- 2 min read

24 April 2025
KOTA KINABALU: Dengan semangat budaya yang membara dan kebanggaan etnik yang mendalam, sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang diadakan di Hotel Hilton, Kota Kinabalu pada 13 April lalu telah melabuhkan tirainya dengan pengumuman keputusan rasmi Pertandingan Akhir Buvazoi Tavantang yang melibatkan lima daerah iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Tuaran, Kiulu dan Tamparuli.
Acara gilang-gemilang ini menobatkan lima finalis terbaik yang akan mewakili daerah masing-masing ke peringkat negeri bagi tahun ini.
Acara yang penuh warna-warni dan sarat dengan nilai tradisional ini menjadi pentas utama bagi anak muda menonjolkan kebolehan serta jati diri warisan etnik masing-masing. Antara sorotan utama ialah kemenangan berganda oleh Arnold Jaideh dari Daerah Kota Belud, yang bukan sahaja merangkul gelaran Juara Utama, malah memenangi kategori Rekaan Pakaian Tradisional Kontemporari.
Arnold Jaideh membuktikan keunggulannya apabila tampil menawan dengan rekaan pakaian bertemakan “Sakag Tobilung”, hasil inspirasi daripada suku kaum Tobilung. Di bawah pengurusan Jeez Kuripin, pakaian tersebut menonjolkan kehalusan seni warisan dan semangat kepahlawanan masyarakat Tobilung yang kini jarang dipersembahkan di pentas arus perdana.
Manakala di tempat kedua, Emmanuel Philimon dari Daerah Kota Marudu membuktikan kehebatannya sebagai Naib Juara Pertama, diikuti Adam G. Ginajim dari Daerah Tuaran yang menduduki tempat ketiga. Tempat keempat disandang Mohd Amirul Hadi Amidin dari Daerah Kiulu, manakala tempat kelima menjadi milik Shawn Edgar Dennis dari Daerah Tamparuli.
Untuk kategori rekaan pakaian kontemporari pula, Naib Juara Pertama disandang oleh Brendan Daren Adrian dengan rekaannya yang diberi nama “Tinunturu Wagu”. Di bawah pengurusan MJB The Wow Opera, reka bentuk ini diinspirasikan daripada elemen-elemen pakaian suku Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), memberikan sentuhan moden kepada budaya warisan.
Tempat ketiga kategori ini dimenangi Mohd Amirul Hadi Amidin dengan reka bentuk “Rasuk Tinaru”, yang mencerminkan kekuatan dan ketahanan etnik Dusun Sabah, hasil kolaborasi bersama pengurus Ebon Del J.
Acara ini sekali lagi membuktikan bahawa Pesta Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi juga platform penting dalam memperkasakan identiti etnik dan mempersembahkan kreativiti generasi muda Sabah. Dengan finalis-finalis yang bakal menggalas cabaran ke peringkat negeri, Sabah dijangka menyaksikan pertarungan budaya yang lebih hebat dan mengujakan.















Comments