top of page
  • Wartawan Nabalu News

ASEAN-GCC Kerjasama Strategik: Anwar sifatkan sebagai bersejarah


24 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerangka Kerjasama 2024-2028 antara blok ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan kerjasama strategik yang bersejarah bagi dua rantau tersebut, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerjasama itu telah dibincangkan selama bertahun-tahun, sehingga Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memutuskan untuk menjadi tuan rumah, dengan Malaysia menjadi penyelaras bagi pihak ASEAN.


"Kami menyelesaikan beberapa parameter mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi isu perdagangan dan mekanisme untuk memupuk perdagangan pelaburan," katanya.


Beliau berkata ini dalam wawancara dengan Arab News dan Arab Asharq Al-Awsat, di luar Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di Riyadh baru-baru ini.


"Ini bersejarah dalam erti kata GCC dan ASEAN adalah dua kumpulan serantau kecil yang sangat bertenaga dari segi ekonomi, dan kami menjalin kerjasama ini tanpa pengaruh kuasa besar," jelas beliau.


Anwar juga menyifatkan hubungan dan tahap kepercayaan antara Malaysia dan Arab Saudi sebagai 'agak unik' dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama itu.


Beliau berkata walaupun beberapa syarikat besar dari Malaysia dan Arab Saudi telah bekerjasama, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur termasuk tenaga hijau serta maklumat dan teknologi (IT), kedua-dua negara boleh meneroka bidang yang lebih khusus.


"Saya berpendapat itulah secara amnya mengapa pertemuan seperti ini penting. Sebab itu bukan sahaja Menteri Luar, bahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga (ada) di sini kerana mereka perlu membuat tindakan susulan mengenai bidang khusus yang boleh kita terokai," katanya.


Anwar juga berkata Arab Saudi kini beralih ke arah sebuah negara moden dengan teknologi, ekonomi yang rancak dan tenaga boleh diperbaharui, dan ia merupakan peluang menarik bagi Malaysia dan rantau ASEAN untuk diterokai.


"Kami di Asia telah lama menceburi pelaburan industri, Malaysia, sebagai contoh, telah beralih daripada industri pergudangan kepada penghasilan mikrocip dan kini menerajui bidang itu. Justeru kolaborasi seperti ini sangat berfaedah," katanya.


Anwar juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap hasil sidang kemuncak itu dan percaya ia akan mengukuhkan hubungan ekonomi antara GCC dan ASEAN.


Beliau berkata kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi perlu dikekalkan, memandangkan banyak syarikat Malaysia kini mengambil bahagian dalam projek besar di Riyadh dan zon ekonomi khas NEOM, dalam pelbagai bidang.


"Kerajaan di bawah kepimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini telah melonjakkan pelaburan pembangunan pelaburan dengan cara yang hebat. Justeru, Malaysia, seperti yang anda tahu, perlu mengekalkan kerjasama dua hala ini," katanya sambil menambah bahawa Malaysia bersedia untuk memeterai kerjasama baharu dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi hijau.

bottom of page