ASEAN perlu perkukuh perdagangan, pelaburan intraserantau – Anwar
- nabalunews
- Jul 9, 2025
- 2 min read

9 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh integrasi dalaman dengan mengembangkan perdagangan dan pelaburan intraserantau serta mempercepatkan integrasi merentas sektor bagi membina ekonomi ASEAN yang lebih kukuh dan saling berhubung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia keperluan strategik yang akan menjadi tunggak kepada kerelevanan dan daya tahan ASEAN untuk dekad-dekad akan datang.
Justeru itu katanya, ASEAN perlu memastikan penyelarasan yang padu antara dasar luar dan dasar ekonomi bagi memperkukuh perpaduan serantau dalam persekitaran geopolitik dan perdagangan yang semakin meningkat.

“Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN harus bergerak seiring dalam menghadapai cabaran global yang kian mencabar.
“Semasa kita menavigasi tekanan luar, kita perlu memperkukuh asas dalaman kita. Kita mesti menolak idea bahawa keputusan tentang rantau kita boleh dibuat di tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, di sini pada Rabu.
Beliau turut menegaskan ASEAN adalah rantau yang menentukan haluannya sendiri secara sengaja, koheren dan dengan tujuan, sekali gus tidak akan dibicarakan tanpa kehadirannya sendiri.
Anwar berkata, alat yang dahulunya digunakan untuk menggalakkan pertumbuhan, termasuk perdagangan dan pelaburan, kini semakin digunakan untuk memberikan tekanan politik dan memecahkan kerjasama global.
Perdana Menteri membangkitkan peningkatan tarif, sekatan eksport dan halangan pelaburan sebagai instrumen dalam persaingan geopolitik.
“Sehubungan itu ASEAN mesti bedepan dengan realti masa kini dengan kejelasan dan keyakinan dan memastikan perpaduan bukan sahaja dizahirkan dalam pengisytiharan tetapi turut diterjemah dalam institusi, strategi dan proses membuat keputusan.
“Keperluan ini selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 menyeru sinergi lebih erat merentasi tonggak dan sektor, kita mesti membina amalam penyelarasan yang sepadan dengan realiti yang sedang kita hadapi,” katanya.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.















Comments