ATI College Agih 200 Paket Bubur Kacang di Bazar Deasoka Sempena Ramadan
- nabalunews
- 31 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Romie Stanley DGuns
9 Mac 2026
KOTA KINABALU: Seramai 20 pensyarah dan pelajar Asian Tourism International (ATI) College mengagihkan 200 paket bubur kacang kepada peniaga dan pengunjung Bazar Deasoka, pada Jumaat lepas dalam Program "Manisnya Ramadan 2.0".
Program yang berlangsung sejam bermula 3.30 petang itu merupakan inisiatif tahunan kolej berkenaan untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat sambil memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan pelajar.
Menurut Ketua Program, Sufira Ahmad Shah, yang juga merupakan pensyarah ATI College, sambutan menggalakkan daripada masyarakat mendorong pihaknya untuk menambah jumlah agihan pada tahun ini.

"Ini merupakan usaha murni ATI College untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat dan pada masa sama memperkenalkan budaya Malaysia khususnya kepada pelajar antarabangsa," katanya.
Menurut beliau lagi, program tahun ini menyaksikan peningkatan agihan dua kali ganda berbanding 100 paket pada edisi pertama tahun lalu.
Keunikan program tahun ini, apabila 11 pelajar antarabangsa dari China turut bergabung dalam misi kemasyarakatan tersebut. Para pelajar berkenaan mengenakan pakaian tradisional Melayu iaitu baju melayu dan baju kurung bagi menghayati budaya tempatan sambil membantu mengagihkan bubur kepada pengunjung bazar.

Persiapan awal telah dilakukan peserta seawal jam 1.00 petang di dapur ATI College dengan membungkus bubur kacang yang dimasak sendiri oleh para chef dan pelajar kolej tersebut. Setelah siap, para peserta dipecahkan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan proses pengagihan di sekitar kawasan bazar.
Program yang dijalankan setiap Ramadan ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban masyarakat yang ingin berbuka puasa, malah menjadi platform terbaik untuk pelajar antarabangsa mendekati budaya dan tradisi unik Malaysia.

Kejayaan program kali ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sasaran pengagihan yang lebih meluas, sekaligus mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat.











