Atlet Sabah, Michael Ford cipta sejarah, juara gusti lengan di Arnold Classic AS
- nabalunews
- Mar 2
- 1 min read

2 Mac 2025
KOTA KINABALU: Atlet gusti lengan dari Sabah, Michael Ford, menampilkan prestasi luar biasa selepas menjuarai kategori super heavyweight (125kg ke atas) di Kejohanan Gusti Lengan Arnold Classic di Ohio, Amerika Syarikat, pada 28 Februari lalu.
Kemenangan ini bukan sahaja mengangkat nama Ford dalam dunia gusti lengan antarabangsa, tetapi juga membanggakan Malaysia di peringkat global.
“Terima kasih kepada semua yang telah menyokong, melatih, dan membantu saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Ford, 36, yang dijangka pulang ke Kota Kinabalu pada 7 Mac, turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick, Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin, Restore Chiropractic dan Thunder Cranes.
“Terima kasih atas sokongan anda semua. Ia tidak akan menjadi kenyataan tanpa anda,” katanya lagi.
Ford berharap dapat terus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam arena gusti lengan dunia dan memberi inspirasi kepada lebih ramai atlet tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
Comments