top of page

Atlet Sabah raih pingat Sukan SEA, Para ASEAN terima insentif kemenangan

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

19 Mei 2026


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM383,116 kepada atlet negeri yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan SEA Ke-33 dan Sukan Para ASEAN Ke-13 di Thailand tahun lepas.


Daripada jumlah keseluruhan insentif itu, RM146,500 diperuntukkan kepada pemenang pingat Sukan SEA Ke-33 manakala RM236,616 kepada atlet Sukan Para ASEAN Ke-13.


Hajiji berkata pemberian insentif itu diharap menjadi suntikan semangat kepada atlet untuk terus mencipta kejayaan lebih besar pada masa depan.


“Saya berharap insentif ini menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh. Jangan jadikan kejayaan hari ini sebagai noktah, sebaliknya jadikan ia titik tolak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.


“Kepada jurulatih dan keluarga, sokongan daripada anda adalah tunjang kepada kejayaan atlet-atlet ini,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini hari ini.


Pada Sukan SEA 2025, seramai 91 atlet Sabah mewakili negara dan membantu kontinjen Malaysia meraih lima pingat emas, 14 perak serta 11 gangsa.


Bagi Sukan Para ASEAN pula, seramai 22 atlet Sabah terpilih mewakili negara dan berjaya menyumbang 14 pingat emas, sembilan perak serta empat gangsa.


“Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet Sabah yang telah mengambil bahagian dan mencipta kemenangan pingat dalam Temasya Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 yang berlangsung di Thailand.


“Kerajaan Sabah juga berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet Para yang menjadi penyumbang utama pingat pada Para ASEAN iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga Ivan Jovic Suan, yang mana kedua duanya berasal dari daerah Tuaran,” katanya.


Abdul Halim muncul penerima insentif terbesar apabila meraih lima pingat emas acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan.


Beliau turut dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia semasa Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia.


Sementara itu, Ivan mencipta kejutan dalam acara pecut apabila memenangi tiga pingat emas serta mencatat satu rekod baharu pada usia 18 tahun.


Hajiji berkata kerajaan negeri akan terus memberi komitmen terhadap pembangunan sukan menerusi peruntukan berterusan bagi memperkasa program pembangunan atlet serta penyediaan prasarana sukan moden.


“Menerusi dasar sukan yang dirancang, kerajaan berusaha membentuk budaya sukan dan meningkatkan tahap kesihatan rakyat dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.


“Saya percaya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Seri Dr Anil Sandhu akan terus merancang pembangunan sukan yang lebih komprehensif dan berkesan demi kemajuan Sabah,” katanya.


Beliau turut menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan termasuk jurulatih, pengurus dan atlet supaya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan bagi meningkatkan prestasi masing-masing.


“Ini termasuk memastikan kejayaan lebih gemilang bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di arena antarabangsa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page