• nabalunews

ATM SERAH OPERASI HOSPITAL MEDAN TAWAU PADA KKM



6 JAN 2021


TAWAU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menyerahkan sepenuhnya pengoperasian Hospital Medan Tawau kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk diuruskan oleh Hospital Tawau di sini.


Panglima 13 Briged Infantri Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain berkata, Hospital Medan ATM itu berjaya melaksanakan objektif bagi membantu Hospital Tawau merawat kes-kes bukan COVID-19 dan sejak 20 Okt lalu, seramai 1,366 pesakit telah menerima rawatan.


“Pewujudan Hospital Medan Tawau ini turut membolehkan atur gerak pasukan pembedahan ATM ke Hospital Kunak dan berjaya melaksanakan 36 kes bersifat kecemasan, semi-elektif dan elektif.


“Keberadaan pasukan pembedahan ATM ini, berjaya mengurangkan tempoh menunggu pesakit kes-kes kanser di Pantai Timur Sabah untuk menjalani pembedahan kuratif dan paliatif,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Hospital Medan ATM membabitkan Komander Hospital Medan Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad kepada Pengarah Hospital Tawau Dr Norlimah Arsad di sini.


Dalam pada itu, Abdul Razak berkata ATM akan sentiasa memberi kerjasama kepada KKM, bagi memastikan kebajikan pesakit terbela, meskipun sewaktu pandemik COVID-19.


Sementara itu, Dr Norlimah berkata Hospital Medan Tawau yang terletak di Kompleks Sukan Tawau itu, akan diubah suai dan dijadikan sebagai wad rawatan bagi pesakit COVID-19 berisiko rendah dengan kelengkapan 96 katil.


“Keputusan ini berdasarkan tren penurunan kes COVID-19 sejak Nov hingga kini, dan lebih banyak kes pesakit bukan COVID-19 memerlukan rawatan intensif di Hospital Tawau termasuk intubasi.


“Setakat semalam kira-kira 70 peratus pesakit bukan COVID-19 menerima rawatan di Hospital Tawau, manakala pesakit COVID-19 tahap empat dan lima masih dirawat di Hospital Tawau, namun pesakit dirawat ketika ini kurang daripada 10,” katanya.


Norlimah selain itu menzahirkan terima kasih kepada ATM kerana membantu mengaktifkan Hospital Medan Tawau pada Oktober lalu, sekali gus merawat pesakit bukan COVID-19. - Bernama