top of page
  • Wartawan Nabalu News

Azalina: Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang bebas bukti komitmen Kerajaan Madani


12 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani komited untuk melindungi dan memperkasakan hak kanak-kanak di negara ini dengan mewujudkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) yang bebas dan berkesan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, OCC akan menjadi mata dan telinga kerajaan dalam semua isu berkaitan kanak-kanak, sama ada dalam bidang pendidikan, keselamatan, kebajikan atau hak asasi.


Beliau juga menyifatkan kebebasan OCC sebagai bukti komitmen Kerajaan Madani.


"Kita bermula dengan memberikan kebebasan kepada Suruhanjaya Kanak-kanak, supaya ia boleh membantu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam isu perlindungan kanak-kanak. Bukan sahaja dalam isu hak asasi, bahkan berkaitan pendidikan, keselamatan dan kesejahteraan.


"Kita mahu OCC bebas. Apa guna ada OCC kalau dia tidak bebas? Kita mahu semua kementerian terlibat dalam isu kanak-kanak. Kita mahu OCC boleh membantu menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam isu perlindungan kanak-kanak," katanya dalam program Agenda AWANI pada Ahad.


Beliau berkata, OCC akan ditubuhkan dengan akta yang tersendiri, walaupun ia lahir daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).


Jelas beliau, OCC akan mempunyai kuasa dan keupayaan untuk mengendalikan siasatan secara bebas, memantau dan mengesyorkan penambahbaikan kepada sebarang dasar berkaitan kanak-kanak.


Beliau juga menegaskan bahawa isu kanak-kanak tidak terbatas kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai kementerian.


"Contohnya, mereka yang menggunakan anak-anak sebagai pempengaruh di platform TikTok. Di negara Barat, dari segi undang-undang, ada perkara yang dibenarkan, ada pula perkara yang tidak dibenarkan.


"Kalau kita hendak menjana keuntungan daripada kecomelan dan kepandaian anak kita, ia perlu dikaji dengan teliti. Saya tidak katakan sama ada ia betul atau salah.


"Saya hanya menyatakan kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk perniagaan kerana mereka pada umur tertentu memerlukan perlindungan," katanya lagi.



Comentarios


bottom of page