Azhar sifatkan cadangan Perjanjian Malaysia baharu “gula-gula” politik menjelang PRU-15
4 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin menyifatkan cadangan Perjanjian Malaysia Baharu sekadar ‘gula-gula’ politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kepada kepimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu dilihat sebagai tidak menghormati dan menyinggung perasaan rakyat di negeri ini.
Katanya, Tok Mat sepatutnya menggesa agar UMNO dan BN merealisasikan hak serta tuntutan negeri Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“MA63 harus ditunaikan dengan apa cara sekalipun kerana ia adalah asas kepada titik permulaan kejayaan namun sehingga hari ini tidak pernah direalisasikan.
“Rakyat Sabah sangat terkejut dengan kenyataan yang sungguh berani ini kononnya mencadangkan agar MA63 perlu diperbaharui demi mengembalikan semula hak serta keistimewaan negeri Sabah.
“Perlu dingat … MA63 adalah satu perjanjian yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dengan United Kingdom.
“Tok Mat harus tahu bahawa MA63 mesti dihormati manakala segala isi kandungan perjanjian ini wajib dilaksanakan mengikut persetujuan dalam dokumen berkenaan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan media Timbalan Presiden BN dalam program Konvensyen BN Sabah 2022 di Penampang, pada Sabtu lalu.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, kenyataan Tok Mat itu terlalu angkuh berikutan UMNO - BN tidak berani memohon maaf apabila terdapat perlanggaran perjanjian MA63 selama ini.
“Namun mereka ingin cuba menyembunyikan kesalahan dengan memperbaharui perjanjian tersebut.
“Isu MA63 ini sudah terlalu lama … pelbagai alasan yang tidak munasabah digunakan untuk mengelak melaksanakan perjanjian ini.
“Saya tidak nampak keperluan untuk memperbaharui perjanjian tersebut sedangkan sebelum ini pun mereka tidak telus dalam melaksanakannya, apatah lagi sekarang mencadangkan untuk memperbaharuinya,” katanya.
Azhar berkata, seluruh pucuk kepimpinan Parti Warisan selaku parti memperjuangkan hak-hak Sabah membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk memperbaharui MA63 ini.
Beliau turut menasihatkan Tok Mat selaku Timbalan Presiden UMNO supaya menyelesaikan terlebih dahulu masalah Perhimpunan Agung Tahunan UMNO yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini sebelum mencadangkan sesuatu yang disifatkan tidak masuk akal.
Sebelum ini Mohamad mencadangkan kepada kepimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau dipetik sebagai berkata, perjanjian baharu itu perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia.
Comments