Badan Kehakiman mesti bebas sepanjang masa: PH
28 April 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan menyifatkan kritikan terhadap Badan Kehakiman sebagai agak keterlaluan.
Majlis Presiden Pakatan Harapan turut menyokong penuh kenyataan Ketua Hakim Negara bahawa “apa yang berlaku dalam beberapa hari ini yang membabitkan tohmahan terhadap hakim dan Badan Kehakiman agak keterlaluan”.
Sehubungan itu, PH mengingatkan bahawa Perkara 4.1 dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu “memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman”.
“Pakatan Harapan mendukung dan mempertahan sepenuhnya kebebasan Badan Kehakiman.
“Oleh itu, kami menggesa agar Kerajaan Persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan Badan Kehakiman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Badan Kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Madius Tangau.
Comentários