Baju raya untuk 50 orang anak-anak yatim sumbangan Kelab Belia Siber, Baitulmal
17 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kelab Belia Siber Kota Kinabalu dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah mengadakan program Jom Shopping Raya untuk 50 orang anak-anak yatim di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
Program ini bertujuan untuk menceriakan sambutan hari raya mereka dengan membeli baju raya di Pusat Beli-belah Servay Kota Kinabalu.
Pengerusi Kelab Belia Siber Kota Kinabalu, Salmi Sarinoh berkata, program ini adalah satu inisiatif untuk mendekati dan menyantuni golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan hari raya.
Beliau juga berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai salah satu cara untuk berkongsi kegembiraan dengan komuniti di bulan Ramadan dan Syawal.
“Kita berharap untuk tahun seterusnya, kita mampu meneruskan dan mengadakan lebih banyak program seumpamanya ini, berkongsi dengan mereka di bulan Ramadan dan Syawal.
“Semoga segala usaha murni yang kita lakukan akan terus diberkati oleh Allah dan sentiasa berjalan lancar dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Menurut Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar, peruntukan bagi Program Jom Shopping Raya di Kota Kinabalu ialah RM7,500.00 (50 orang), di Bandau RM7,500.00 (50 orang) dan di Sandakan RM23,000.00.
留言