Banci Pertanian 2024 berbaki 3 hari lagi
- nabalunews
- Oct 7, 2024
- 1 min read

7 Oktober 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sejak 7 Julai lalu kini sudah memasuki hari ke-93 pelaksanaannya.
Banci Pertanian 2024 akan tamat dalam masa tiga hari lagi iaitu pada 10 Oktober ini dan akan terus memberi fokus dalam pengumpulan maklumat pengusaha pertanian.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata, sehingga hari ini, bagi negeri Sabah, sebanyak 98.2 peratus bancian telah dilaksanakan sementara bagi seluruh negara adalah sebanyak 96.4 peratus.
Katanya, selepas proses bancian itu tamat, pihaknya juga akan mengadakan "Mopping Up" bersama agensi terlibat.
Pada masa yang sama, beliau percaya masih ada segelintir mereka yang terlibat masih belum dibanci sehingga ke saat akhir.
Manakala hasil daripada bancian itu akan dikemukakan pada tahun hadapan.
Data yang diperoleh bertujuan memastikan tiada pihak akan tertinggal dalam dasar kerajaan yang dilaksanakan untuk sektor pertanian.
Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 menyatakan perkara itu pada sidang media sejurus melakukan tinjauan bancian di pusat penternakan udang kertas dan putih di Haiky Aquaculture, Batu 7, Sungai Obar dan Sungai Kayu, Sandakan, hari ini.
Selain itu, beliau juga meninjau bancian pertanian di sekitar Kinabatangan, Tongod, Beluran dan Telupid dan mendapatkan maklum balas pihak pertanian terbabit.
Banci Pertanian 2024 itu melibatkan empat subsektor utama termasuk tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur serta perhutanan dan pembalakan.
Bancian itu antara lain bertujuan untuk membangunkan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang akan memuatkan maklumat lengkap mengenai rantaian pertanian dari huluan hingga hiliran yang akan dikemaskini secara berkala
Comments