top of page
  • Wartawan Nabalu News

Banduan lolos ditangkap dalam reban ayam, lari dari tingkat 2 bangunan mahkamah selepas dengar hukuman


30 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KENINGAU: Selepas dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret Keningau.bagi kesalahan menagih dadah, seorang lelaki bertindak nekad melarikan diri dengan melompat keluar dari tingkat dua bangunan mahkamah berkenaan, semalam.


Tindakan suspek, Muhammad Safwan Shahir Jasuf Abdullah, 24, itu bagaimanapun tidak berjaya selepas ditahan semula ketika cuba bersembunyi di sebuah reban ayam dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas kejadian berkenaan.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek ditahan di kawasan perumahan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau kira-kira tujuh jam selepas melarikan diri.


Katanya, hasil siasatan mendapati, ketika kejadian suspek sedang dibacakan hukuman oleh Majistret Flavian Edward Henry, di Kamar Mahkamah Majistret mengikut pertuduhan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.


“Sebaik sahaja hukuman penjara selama enam bulan bulan dibacakan, suspek secara tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh, lalu menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua.


“Suspek kemudian ke bahagian bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter sebelum melompat ke bawah dengan ketinggian empat meter lalu berlari ke pagar mahkamah.


“Suspek kemudiannya menghilangkan diri dan gagal dikesan selepas berjaya keluar ke jalan raya utama berhampiran Bulatan Rusa, Pekan Keningau,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.


Menurutnya, suspek ketika itu tidak digari berikutan dilepaskan secara berasingan bersama enam banduan lain untuk proses dibacakan hukuman.


Beliau berkata, ruang persidangan Mahkamah Majistret ini tidak mempunyai jeriji besi dan hanya ruang persidangan di Mahkamah Sesyen, aras bawah sahaja yang bergril penuh, empat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di dalam ruang persidangan di tempat kejadian juga tidak berfungsi.


Beliau bagaimanapun berkata, hasil tindakan cekap dan pantas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau berjaya menangkap suspek pada 9.30 malam.


“Suspek ditahan di di kawasan perumahan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau semasa sedang bersembunyi di dalam reban ayam.


“Suspek dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.


Yampil berkata sebelum kejadian itu, kakitangan penjara menghantar tujuh banduan termasuk suspek ke Mahkamah Keningau.


Katanya, sebaik hukuman enam bulan penjara dibacakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, suspek secara tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh.

Comments


bottom of page