Randawi Tavantang Kaamatan mulai tahun depan
- nabalunews
- 17 hours ago
- 1 min read

29 Mei 2025
PENAMPANG: Pertandingan Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK) akan ditukar secara rasmi kepada Randawi Tavantang Kaamatan, bermula tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan 2025, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, langkah penjenamaan semula pertandingan itu bagi memastikan ia kekal relevan dalam sambutan Pesta Kaamatan.
Jeffry yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, pemilihan nama "Randawi" melambangkan jiwa lelaki muda yang bukan sahaja gagah secara fizikal, tetapi juga kaya dengan nilai, akar budaya dan semangat cintakan warisan bangsa.
"Harapan kita, Randawi Tavantang Kaamatan akan terus menjadi medan unggul penyatuan kekuatan lelaki muda dalam budaya, bukan hanya untuk generasi hari ini, tetapi sebagai warisan berharga buat masa depan," katanya.
Jeffry berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Buvazoi Tavantang Kaamatan Peringkat Negeri bagi tahun 2025, di Dewan Hongkod Koisaan, di sini,hari ini.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk mengangkat pertandingan BTK sebagai platform bukan sahaja bertujuan untuk mencari peserta yang tampan, tetapi juga untuk mencungkil potensi pemimpin muda yang berdaya saing dalam pelbagai bidang.
“Semoga BTK akan terus menjadi ruang untuk anak muda mengembangkan potensi mereka dan memberi impak positif kepada masyarakat, bukan hanya di tanah air tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, semangat perpaduan merentasi kaum, agama dan kepercayaan dilihat bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, "Kaamatan Untuk Semua".
Comentários