BANJIR DI KAMPUNG KORINA SIKUATI, KUDAT TERBURUK SEJAK 30 TAHUN LEPASBANJIR DI KAMPUNG KORINA SIKUATI, KUDAT TERBURUK SEJAK 30 TAHUN LEPAS
top of page
  • nabalunews

BANJIR DI KAMPUNG KORINA SIKUATI, KUDAT TERBURUK SEJAK 30 TAHUN LEPAS



12 JAN 2021


KUDAT: Hujan berterusan lebih 50 jam sejak Ahad lepas menyebabkan banjir kilat terburuk sejak lebih 30 tahun lepas melanda Kampung Korina, Sikuati dekat sini semalam.


Jamiah Yunus, 78, yang menetap di kampung berkenaan sejak 40 tahun lepas berkata banjir kilat pernah berlaku sebelum ini tetapi hanya pada paras lutut dan cepat surut berbanding kali ini yang ketinggian air mencecah lebih 3 meter dalam masa yang singkat.


Katanya, air naik dengan cepat kira-kira pukul 7 pagi semalam dan dia sekeluarga dengan segera menyelamatkan pelbagai barangan yang penting, sebelum berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


"Saya terkejut kerana air naik dengan cepat. Sudah sekian lama kampung ini tidak mengalami banjir kilat seperti ini… selalu banjir kilat yang berlaku cepat surut dan kami tidak perlu pindah ke PPS,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sikuati, Kudat.


Sehingga tengah hari tadi, seramai 932 mangsa daripada 283 keluarga telah ditempatkan di PPS SK Sikuati Kudat dan bilangan mangsa dijangka meningkat berikutan hujan masih berterusan.


Sementara itu, Tamahri Delus, 53, berkata disebabkan Kampung Korina bukan kawasan yang selalu dilanda banjir sejak lebih 30 tahun lepas, rumahnya dibina tanpa tiang dan banjir kilat kali ini memusnahkan banyak barangan rumahnya.


Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Makin Duali, 46, berkata ramai penduduk kampung terkejut dengan kejadian banjir kilat tersebut yang menyebabkan kampung itu seakan-akan bertukar menjadi lautan.


“Saya telah menetap di kampung itu sejak lebih 10 tahun lepas dan ini kali pertama saya melihat kampung ini dilanda banjir yang teruk dan memaksa penduduk untuk berpindah ke PPS,” katanya.


Sementara itu, seorang petugas Jabatan Pengairan Dan Saliran Kudat, Liew Vun Yap berkata setakat 12 tengah hari tadi paras air Sungai Korina pada 2.3 meter, di atas paras bahaya sungai berkenaan iaitu 1.6 meter.


“Saya bersama tiga lagi kumpulan lain sedang membuat pemantauan setiap jam paras air sungai ini dan memberikan laporan terkini kepada bilik operasi. Walaupun hujan berterusan, terdapat trend penurunan paras air sungai berbanding 2.8 meter pagi tadi,” katanya. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page