Banjir di Sabah: Perlukan Penyelesaian, Bukan Sekadar Simpati
- nabalunews
- May 9, 2025
- 2 min read

9 Mei 2025
Musibah banjir di Sabah, bukan lagi kejadian luar biasa, malah ia sudah seakan-akan menjadi sebahagian daripada rutin hidup penduduk khususnya di kawasan tanah rendah.
Apa yang dahulunya berlaku sekali-sekala kini dilihat semakin kerap dan lebih ‘ganas’ apabila setiap kali hujan lebat, ada kawasan dinaiki air, jalan utama terputus, rumah rosak, perniagaan lumpuh dan tidak kurang juga keluarga kehilangan tempat tinggal.
Masalah ini tidak boleh lagi dianggap sekadar masalah cuaca sebaliknya lebih kepada isu perancangan, tadbir urus, dan yang paling penting isu kepimpinan iaitu tindakan menanganinya.
Saban tahun, pendekatan masih reaktif yang mana seperti biasa, selepas bencana, bantuan akan dihantar dan kawasan dibersihkan seperti yang dilaporkan berita.
Tetapi selepas itu, rakyat hanya mampu berharap agar musim hujan tidak melanda kawasan mereka, tanpa ada perubahan sebenar.
Inilah masanya kita beralih daripada sikap ‘menunggu dan bertindak’ kepada strategi yang membina daya tahan kerana apabila kita mula menganggap banjir sebagai 'biasa', itu petanda kita sedang normalisasikan penderitaan rakyat.
Apa Maksud Ketahanan (Resilience)?
Ketahanan bukan sekadar bertahan, sebaliknya ia bermaksud kita perlu bersedia lebih awal dan mengurangkan impak kepada rakyat menerusi beberapa langkah utama yang perlu diberi perhatian.
Sistem saliran dan infrastruktur banjir yang moden dan menyeluruh, penyelenggaraan berkala sungai dan longkang, bukan hanya tindakan selepas saluran ini sudah tersumbat.
Selain itu, pihak berwajib juga perlu mewujudkan sistem amaran awal yang meluas dan efektif di kawasan berisiko tinggi.
Antara cadangan lain yang mampu mengurangkan risiko banjir termasuklah pemeliharaan kawasan hijau dan pengawalan pembangunan untuk cegah hakisan.
Pendidikan dan kesedaran komuniti mengenai kesiapsiagaan bencana serta kerjasama semua agensi dengan bajet yang telus dan fokus pada pencegahan, bukan sekadar pemulihan.
Kepimpinan Penentu Arah
Banjir tidak memilih mangsa berdasarkan fahaman politik, tetapi cara kita bertindak balas terhadap bencana adalah cerminan kepimpinan.
Sabah perlukan pemimpin yang mendengar sebelum banjir berlaku, bukan hanya muncul selepas air surut serta pemimpin yang bukan sekadar menyalahkan, tetapi merancang dan mencegah.
Ini bukan masa untuk menuding jari. Ini masa untuk kita semua sebagai pentadbir, pemimpin politik, NGO dan komuniti untuk bangkit dan ambil tindakan bersama.
Sabah Berhak Kepada Perancangan Yang Lebih Baik.
Kita tidak boleh terus bergantung kepada pasukan pembersih selepas banjir. Kita perlukan rangka kerja yang jelas, kepimpinan yang berani, dan rakyat yang diyakinkan bahawa perubahan itu benar-benar boleh berlaku.
Ketahanan tidak dibina dalam sehari. Tetapi dengan iltizam dan tindakan kolektif, kita boleh mulakan hari ini. Kerana Sabah berhak kepada yang lebih baik.
Dennison R. Indang
Bendahari Agung UPKO,
Ketua Bahagian UPKO Kota Kinabalu.
Aktivis Pembangunan Masyarakat.


















Sandbox – Comprehensive Real Estate Solutions in Dubai
Sandbox provides full-service real estate, from investment pools to interior design. Our brokers, like Julia Shcherbakova, offer personalized support for villas, offices, and more. Join our newsletter for market updates and explore opportunities at sbre.site now!