Banjir: Kerugian sektor agromakanan lebih RM177 juta
- nabalunews
- Dec 14, 2024
- 2 min read

14 Disember 2024
PUTRAJAYA: Anggaran kerugian sektor agromakanan akibat banjir setakat ini bernilai lebih RM177 juta dengan anggaran kawasan terjejas seluas 28,265.49 hektar manakala sektor paling terjejas ialah tanaman padi yang mencatat kerugian lebih RM159 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata data itu berdasarkan laporan dari 27 November hingga 12 Disember lalum
Katanya jumlah kumpulan sasar yang terkesan adalah sebanyak 15,456 orang. Sektor perikanan dan ternakan turut terjejas.
"Maka kita akan berusaha membantu mereka yang terjejas mengikut skim sedia ada di bawah kementerian, selain daripada (bantuan melalui) agensi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan agensi lain," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini pada Jumaat, lapor Bernama.
Berdasarkan laporan awal kerosakan mengikut negeri, Kedah mencatatkan angka kerugian tertinggi iaitu lebih RM97 juta, diikuti Kelantan (lebih RM33 juta) dan Terengganu (lebih RM13 juta).
Mohamad berkata KPKM turut menyediakan bantuan pascabanjir menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi membantu pesawah yang terkesan akibat bencana.
TBTP merupakan satu bentuk bantuan segera yang diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang terjejas atau mengalami kemerosotan pengeluaran hasil padi akibat faktor luar kawalan seperti serangan penyakit, bencana alam dan lain-lain yang bukan disebabkan oleh faktor manusia.
Beliau berkata kadar pemberian bantuan adalah berdasarkan usia tanaman padi iaitu RM1,800 sehektar bagi usia padi melebihi 71 hingga 120 hari, manakala RM876 per hektar bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari.
Katanya jumlah bantuan terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar sahaja bagi satu musim penanaman.
Menurut beliau lagi, skuad Ihsan MADANI KPKM digerakkan bagi membantu kumpulan sasar terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menerusi usaha berkenaan, pasukan sukarelawan akan bergotong-royong melakukan aktiviti pembersihan, mengagihkan bekalan makanan termasuk agihan makanan ternakan serta pemindahan ternakan ke penempatan sementara.
Skuad Ihsan MADANI adalah cetusan idea Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk mengaturgerakkan penjawat awam bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.
تعليقات