top of page

Hak 40 peratus Sabah kewajipan undang-undang, bukan ihsan politik – Madius

  • nabalunews
  • 14 minutes ago
  • 2 min read

5 Mac 2026


KOTA KINABALU: Pelaksanaan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih negeri bukan ihsan politik, sebaliknya kewajipan undang-undang yang mesti dipatuhi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menegaskan hak tersebut jelas termaktub dalam Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Sabah berhak menerima geran khas bersamaan 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan di negeri ini.


Menurutnya, pelaksanaan hak itu juga berkait secara langsung dengan semangat serta asas pembentukan Malaysia menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani antara United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.


“Memandangkan MA63 mempunyai kedudukan sebagai perjanjian antarabangsa, ia tertakluk kepada prinsip undang-undang antarabangsa Pacta Sunt Servanda yang bermaksud setiap perjanjian yang dipersetujui wajib dipatuhi oleh pihak yang menandatanganinya.


“Kegagalan melaksanakan sepenuhnya formula 40 peratus selama beberapa dekad telah menimbulkan persoalan serius berkaitan keadilan fiskal serta penghormatan terhadap hak negeri dalam Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Madius berkata, perkara itu menjadi lebih signifikan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, memutuskan tuntutan berkenaan mempunyai asas perundangan kukuh serta mengarahkan semakan semula geran khas berdasarkan peruntukan Perlembagaan.


Sehubungan itu, menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, sekiranya rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah gagal mencapai penyelesaian dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang adalah wajar dan sah.


“Antara tindakan yang boleh diambil termasuk memfailkan saman Perlembagaan bagi memaksa pelaksanaan Perkara 112C dan 112D serta memohon semakan kehakiman terhadap kegagalan melaksanakan formula 40 peratus itu.


“Selain itu, Sabah juga boleh menuntut pembayaran tunggakan hasil yang sepatutnya diterima negeri bagi tempoh formula itu tidak dilaksanakan dengan betul,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pengwujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan di Sabah sejak 1974 bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti serta pengiraan tepat jumlah sebenar hak negeri.


Madius menambah, sistem data yang lengkap akan membantu mengenal pasti jumlah hasil yang dikutip, sekali gus menentukan nilai 40 peratus secara tepat selain memperkukuh bukti sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah.


“Perjuangan menuntut pelaksanaan hak 40 peratus ini bukan sekadar isu politik atau kepentingan mana-mana parti, sebaliknya melibatkan hak perlembagaan, keadilan ekonomi serta penghormatan terhadap asas pembentukan Malaysia.


“Hak yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan dan perjanjian pembentukan negara tidak sepatutnya ditangguhkan atau dilengah-lengahkan kerana ia melibatkan masa depan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.


Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.


Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula hasil bersama Kerajaan Negeri di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi menegakkan semula hak 40 peratus hasil Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.


Hakim Datuk Celestina Stuel Galid dalam keputusannya turut mengarahkan supaya kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri mencapai persetujuan bersama dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah itu.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page