top of page

41.2 peratus ahli KWSP capai tahap simpanan asas RM390,000

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

5 Mac 2026


KUALA LUMPUR: Seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sektor formal warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat akhir 2025.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, masih terdapat 4.42 juta atau 58.8 peratus ahli sektor formal yang belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi memastikan kecukupan simpanan apabila bersara.


“Berdasarkan unjuran semasa, menjelang tahun 2030 dianggarkan sekitar 60 peratus ahli berpotensi mencapai tahap simpanan asas iaitu sekitar RM390,000 pada umur 60 tahun sekiranya mereka terus mencarum secara konsisten dan mengekalkan simpanan dalam akaun persaraan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ng Keng Heng mengenai anggaran rasmi kerajaan berhubung peratusan warganegara dijangka tidak mencapai tahap simpanan minimum mencukupi menjelang umur persaraan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.


Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan melalui KWSP komited untuk memastikan hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dapat dikawal dengan memperkenalkan penanda aras RIA (Kecukupan Pendapatan Persaraan).


Menurutnya, RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran, sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih berhemah.


"Selain itu, pelbagai langkah memperkukuh simpanan terus dilaksanakan termasuk penstrukturan akaun termasuklah pengenalan kepada Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela serta program seperti i-Simpan, i-Saraan, i-Topup.


“KWSP turut mempergiat lagi kempen kesedaran bagi menggalakkan ahli tidak membuat pengeluaran penuh secara sekali gus yang boleh menjejaskan pendapatan selepas persaraan sebaliknya memilih opsyen pengeluaran secara bayaran bulanan,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page