top of page
Wartawan Nabalu News

Banjir Penampang: 112 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan


Foto ehsan Bomba Sabah

1 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


PENAMPANG: Seramai 112 penduduk di Penampang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang setakat jam 6:30 pagi tadi.


Menurut Pegawai Bertugas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi memindahkan mangsa banjir telah dijalankan sejak semalam ekoran banjir kilat yang melanda beberapa kampung di Penampang.


"Pasukan Bomba telah memindahkan 59 mangsa ke PPS setakat pagi ini. Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 17 lelaki dewasa, 28 perempuan dewasa, 7 kanak-kanak lelaki dan 7 kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.


Operasi memindahkan mangsa banjir masih giat dijalankan dan pemantauan di kawasan-kawasan berisiko banjir juga terus dilakukan.


"Keadaan cuaca ketika ini adalah mendung dan paras air Sungai Penampang berada pada paras waspada iaitu 8.78 meter," katanya.


Beliau seterusnya berkata, sebanyak 40 keluarga telah mendaftar di PPS Dewan Kebudayaan Penampang.


"Operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir di Penampang dijalankan oleh 55 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, BBP Kota Kinabalu, BBP Ibu Pejabat dan FRAM," katanya.


Antara kampung yang terlibat banjir di Penampang adalah, Kg. Inopok, Kg. Kolopis, Kg. Limbanak, Kg.  Tuavon, Kg. Kibabaig, Kg. Penampang Proper, Kg. Sugud, Kg. Timpoluon, Kg. Kituau, Kg. Pagan Sakan, dan Kg. Kibatu.


Selebihnya adalah Kg. Kasigui, Kg. Nampasan, Kg. Inobong, Kg. Sunon, Kg. Moyog, Kg. Kimoligan, Kg. Mambagon, Kg. Gong Dabak, Kg. Agut Jubili, Kg. Peropok, Kg. Dungkahang dan Kg. Kambau.

コメント


bottom of page