Bantuan Awal Persekolahan diagih lebih awal tahun depan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

9 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengagihkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) lebih awal bermula tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ia susulan maklum balas ibu bapa yang menyuarakan ketidakpuasan hati apabila bantuan itu diterima pada minggu pertama sesi persekolahan, menyebabkan persediaan tidak dapat dilakukan lebih awal.
“Kebetulan tahun ini kita baru sahaja memulakan sesi persekolahan pada Januari, jadi memang ada sedikit rungutan yang diterima.
“Mulai tahun hadapan, kita akan perbaiki supaya BAP diberikan lebih awal dan persiapan ibu bapa boleh dilakukan dengan selesa,” katanya memetik Bernama pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan di sini, hari ini.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.
BAP merupakan bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM150 yang diberikan kepada 5.2 juta murid bagi meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan.
Bagi tahun ini, kaedah penyaluran BAP dilaksanakan secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara ibu bapa dan guru.
“Saya harap ibu bapa ambil saranan RM150 ini untuk keperluan sekolah dan datang ke sekolah ambil bantuan serta berjumpa dengan guru untuk mendengar laporan dan juga saranan mengenai anak-anak kita,” ujarnya.














