Bantuan kecemasan Koperasi SKM akan dinaikkan sehingga RM2 juta mulai tahun depan: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bantuan kecemasan Koperasi SKM akan dinaikkan sehingga RM2 juta mulai tahun depan: Ewon


Ewon melawat gerai pameran usahawan-usahawan tempatan pada majlis itu.

24 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan kecemasan koperasi di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan dinaikkan kepada RM2 juta bermula tahun depan.


Beliau berkata, sebelum ini bantuan kecemasan untuk bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan kebakaran yang disalurkan oleh SKM kepada koperasi-koperasi terjejas secara keseluruhannya berjumlah RM1 juta.



“Setiap koperasi yang terjejas akan diberikan sejumlah peruntukan tertentu untuk meringankan bebanan mereka dan juga membantu memulihkan koperasi mereka.


“Banyak kawasan terjejas banjir termasuk di Kadamaian dan Penampang dan beberapa lagi kawasan di Sabah. Sekiranya ia melibatkan koperasi maka peruntukan RM2 juta itu akan kita gunakan untuk membantu koperasi berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.



Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan tahun 2023 akan diadakan di Penampang.


“HPPK seharusnya disambut di tempatnya iaitu di kawasan pasar-pasar atau tamu-tamu. Oleh itu dalam ucapan saya semasa pelancaran HPPK 2022 baru-baru ini, saya telah menyatakan bahawa sambutan itu perlu dianjurkan di luar Putrajaya.


“Sebab itu saya mencadangan supaya sambutan itu diadakan di Buhavan Square dan Tamu Sangadau Penampang di mana ramai rakyat Sabah berniaga secara kecil-kecilan di kawasan ini," katanya.



Terdahulu itu, ketika berucap Ewon berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, kementerian itu sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan golongan usahwan.


“Dalam hal ini, KUSKOP komited membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), usahawan informal dan koperasi dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan,” katanya.


Katanya, KUSKOP juga akan terus memperkasakan sektor PMKS dan usahawan selaras dengan keutamaan yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan.


“Justeru, usaha berterusan akan dilakukan melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pengukuhan aktiviti berasaskan sumber, memudah cara perniagaan dan peningkatan akses pasaran PMKS.



“Inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu.


“Saya berhasrat untuk memacu peranan Kementerian dalam memajukan perusahaan berasaskan digital ekonomi, agro-pelancongan serta penyelesaian isu berkaitan penjaja kecil.


“Di samping itu, perusahaan sosial juga adalah merupakan antara bidang yang akan diberi tumpuan oleh Kementerian dan semua agensi di bawahnya,” katanya.


Ewon berkata, tumpuan yang lebih besar turut diberikan kepada pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak dengan memberi fokus kepada sektor keusahawanan dan koperasi berasaskan teknologimaklumat serta mengukuhkan perdagangan digital di kedua-dua negeri itu yang akan turut disokong pelaksanaannya oleh Kementerian Komunikasi dan Digital.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page