Bantuan STR bagi penerima tanpa akaun bank bermula di pedalaman Sabah
- nabalunews
- 3 hours ago
- 2 min read

26 April 2026
KUALA PENYU: Agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi penerima tanpa akaun bank di kawasan pedalaman Sabah bermula semalam, dengan Kuala Penyu menjadi lokasi pertama pelaksanaan program berkenaan.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada golongan yang tidak mempunyai akses perbankan bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara terus tanpa halangan.
Menurutnya, daripada hampir 13,000 penerima STR yang tidak mempunyai akaun bank, seramai 2,246 penerima adalah dari kawasan pedalaman Sabah dan menjadi sasaran utama program berkenaan.
“Pendekatan turun padang ini membantu mengurangkan kos logistik tinggi yang perlu ditanggung penduduk pedalaman untuk menuntut bantuan.
“Kuala Penyu dipilih sebagai lokasi pertama yang turut melibatkan penerima dari Membakut dan Menumbok. Program ini akan diteruskan ke 14 lokasi lain di kawasan pedalaman Sabah sehingga hujung Jun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Penunaian STR Tahun 2026 bagi Penerima Tiada Akaun Bank di Kawasan Pedalaman Sabah di Dewan Dato' Shahbandar Makang, di sini, pada Sabtu.
Norali berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi, khususnya di bawah Kementerian Kewangan Malaysia termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), selain kerajaan negeri dan pejabat daerah.
“Dalam program ini, BSN menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun bank bagi memudahkan penerima menerima bayaran secara terus pada masa akan datang, manakala LHDN membuka kaunter semakan dan pengemaskinian maklumat serta semakan kelayakan kepada individu yang belum menerima STR.
“Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut melaksanakan Jualan Rahmah MADANI bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah,” katanya.
Selepas Kuala Penyu, program itu akan diteruskan ke Beaufort pada 26 April, disusuli Kemabong (10 Mei), Nabawan, Ranau dan Tongod (16 Mei), Matunggong (21 Mei), Kota Marudu, Pulau Banggi dan Beluran (23 Mei), Pitas (13 Jun), Paitan (14 Jun), Kunak (20 Jun) dan berakhir di Pulau Bum Bum, Semporna pada 21 Jun.















Comments