Bantuan subsidi tiket penerbangan sempena Kaamatan, Gawai tepati manifesto PH: Ewon
19 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, keputusan kerajaan melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala untuk Sabah dan Sarawak dari Semenanjung Malaysia pada sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lepas.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap ia dapat meringankan bebanan kewangan warga Sabah dan Sarawak yang balik kampung sempena sambutan itu.
“Selama ini saya ditegur di media sosial berkenaan dengan manifesto atau Tawaran PH semasa kempen pilihan raya lepas mengenai tiket penerbangan untuk Sabah.
“Sebenarnya perkara ini telah banyak dibincangkan dalam Kabinet dan kita bersetuju supaya Menteri Pengangkutan adalah menteri yang bertanggungjawab untuk membuat pengumuman.
“Sebab itu, saya memilih untuk tidak respon teguran tersebut kerana saya yakin dengan keputusan memilih seorang menteri sebagai jurucakap untuk mengumumkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Bantu Sekolah” Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada semua sekolah dalam kawasan Parlimen Penampang, di Dewan SM St.Micheal Penampang, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pada masa tertentu harga tiket turun pada kadar yang sangat rendah dan menjelang musim perayaan harganya agak mahal.
“Kalau di Semenanjung ada tol percuma yang dibiayai kerajaan tapi di Sabah dan Sarawak tidak ada tol jadi kita tidak menikmati pembiayaan kerajaan.
“Itu sebabnya, selepas kita berbincang di Kabinet, kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan untuk memberikan subsidi penerbangan.
“Kerajaan telah tetapkan harga siling RM300 dan harga selepas itu disubsidikan oleh kerajaan tetapi jumlah kerusi terhad seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya.
Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan membeli semua baki tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak semasa tempoh tiga hari perjalanan sebelum tarikh sambutan kedua-dua perayaan itu.
“Harga tiket penerbangan sehala bagi setiap penumpang akan ditetapkan maksimum RM300 atau mengikut harga sebenar tambang sekiranya harga tiket tersebut kurang daripada RM300. Harga ini tidak termasuk cukai dan fi,” katanya.
Mengenai sambutan Pesta Kaamatan, Ewon berkata, sambutan ini boleh dijadikan ruang untuk memperkasakan perpaduan dan keharmonian kaum.
“Perayaan Pesta Kaamatan adalah platform terbaik untuk kita memupuk dan memperkasakan lagi keharmonian kaum kerana sambutan ini dihadiri pelbagai kaum, bangsa dan agama,” katanya.
Selepas menyempurnakan Program CSR Yayasan Bank Rakyat, Ewon bersama pegawai kanan YBR dan pemimpin masyarakat melawat seterusnya menyampaikan sumbangan YBR berupa kerusi roda boleh laras kepada seorang penduduk di Kg.Penampang Proper.
Kemudiannya beliau merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan anjuran Persatuan Tamu Donggongon penampang, di Tamu itu, di sini.
Comments