Bapa cederakan anak ditahan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

18 Mei 2025
LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencederakan anak kandungnya menggunakan tangan dan alat ganti kenderaan iaitu getah timing belt, semalam.
Difahamkan, kejadian di Kampung Sharip, di sini, itu berlaku ketika mangsa yang berusia 13 tahun membantu bapanya membaiki kenderaan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian dilaporkan oleh bekas isteri suspek selepas menerima gambar kecederaan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar anaknya.
Katanya, mengikut laporan ibu mangsa, pelajar tingkatan satu itu mengalami lebam di bahagian belakang, rusuk dan kaki kanan.
“Susulan itu, suspek yang berusia 38 tahun ditahan pada jam 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
“Suspek disyaki mencederakan anak kandungnya menggunakan tangan dan alat ganti kereta iaitu getah timing belt, semasa mangsa membantu membaiki kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Comentarios