- Wartawan Nabalu News
Batalkan perjanjian pengurusan hutan dengan syarikat asing

6 Disember 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Perjanjian Negeri Sabah dan Syarikat Milikan Singapura HOCH Standard Pte Ltd bertarikh 30 Oktober 2021 yang memberikan hak eksklusif selama lebih 100 tahun perlu diperincikan agar tidak merugikan rakyat negeri ini dalam jangka masa panjang, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Sabah Chrisnadia Sinam.
Beliau berkata, ini kerana perjanjian itu dikhuatiri dibuat secara tergesa-gesa tanpa penyelidikan menyeluruh dan membuka ruang kepada syarikat luar negara untuk mengurustadbir hutan negeri ini.
“Kita tidak mahu perjanjian berat sebelah yang memungkinkan hak hutan Sabah boleh dijual di pasaran secara terbuka samada melalui syarikat atau individu.
“PKR Sabah berpendapat bahawa urustadbir hutan kita tidak perlu campur tangan oleh orang luar dan kita mempunyai tenaga kepakaran sendiri seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membantu dalam pemulihan dan pemeliharaan hutan negeri ini.
“Singapura tidak mempunyai hutan dan agak mustahil mereka mampu memahami hutan kita lebih baik daripada rakyat Sabah sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Chrisnadia berkata, kerajaan negeri perlu bertegas mengenai perjanjian strategik itu bagi mengelak hutan Sabah tergadai.
Katanya, perkara ini amat serius memandangkan keluasan Hutan Sabah hampir dua juta hektar dan perlu dipelihara untuk warisan generasi dan konservasi ekosistem dunia.
“Perbezaan kenyataan daripada AG dan Timbalan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini melalui akhbar menimbulkan keraguan berkaitan kredibiliti syarikat berkenaan.
“Kita mendesak Kerajaan memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat berkaitan keuntungan dan kelebihan perjanjian ini dibuat. Sebaiknya batalkan perjanjian ini dan berikan masa kepada pakar kita untuk mengkaji lebih dalam,” katanya.