Bawa barang bersubsidi tanpa permit sah
- nabalunews
- Mar 6
- 1 min read

6 Mac 2025
TAWAU: Dua lelaki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki membawa lebih tujuh tan barang bersubsidi tanpa permit sah di perairan daerah ini, Selasa lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun yang merupakan juragan bot kargo tempatan berkenaan ditahan dalam operasi berasingan.
Katanya, bot pertama ditahan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga selepas didapati membawa 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum dan tujuh kotak minyak masak tanpa dokumen sah.

“Manakala, bot kedua pula ditahan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau selepas dikesan cuba memecut laju ke arah Pulau Sebatik.
"Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa muatan 50 tong gas LPG berisi serta 65 pek beras anggaran 10 kilogram tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, lebih mencurigakan apabila nama juragan terbabit juga tidak tersenarai dalam lesen operasi bot berkenaan.
Katanya, kedua-dua bot dan muatan yang dianggarkan bernilai RM126,000, terus dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961; Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang diperketatkan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan terutama menjelang musim perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru komuniti maritim agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau menerusi talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Comments