• Wartawan Nabalu News

Bawa ke Mahkamah Antarabangsa jika Perjanjian Malaysia 1963 susah sangat untuk dilaksanakan - Ewon


Datuk Ewon Benedick

22 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri membawa Perjanjian Malaysia 1963 ke Mahkamah Antarabangsa jika susah sangat untuk dilaksanakan.


"Jika Perjanjian Malaysia 1963 tidak dapat dilaksanakan atau gagal dilaksanakan, kenapa kita tidak bawa perjanjian ini ke Mahkamah Antarabangsa untuk menentukan keabsahannya?" katanya.


Ewon turut meminta Ketua Menteri menjelaskan pendirian rasmi Kerajaan Negeri berhubung dengan syor yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jeffrey Kitingan sepertimana dilaporkan media agar satu perjanjian baharu dibuat oleh Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.


"Pada pandangan saya, perjanjian baharu tidak wajar dibuat selagi ianya tidak melibatkan pihak-pihak asal yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 tersebut atau sekurang-kurangnya keabsahan itu diputuskan di Mahkamah Antarabangsa," katanya.


Ewon menyatakan demikian hari ini di Dewan Undangan Negeri dalam ucapan perbahasan beliau ke atas ucapan dasar kerajaan yang disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.