SESB LAKSANA PEMOTONGAN BEKALAN ELEKTRIK TERTUNGGAK MULAI DISEMBERSESB LAKSANA PEMOTONGAN BEKALAN ELEKTRIK TERTUNGGAK MULAI DISEMBER
top of page
  • Wartawan Nabalu News

SESB LAKSANA PEMOTONGAN BEKALAN ELEKTRIK TERTUNGGAK MULAI DISEMBER




KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna yang mempunyai jumlah bil tertunggak melebihi sembilan bulan.


Pemotongan akan dilaksanakan selepas 6 Disember dan pengguna adalah dinasihatkan untuk menjelaskan bil elektrik yang tertunggak bagi mengelakkan pemotongan bekalan ke atas premis dilaksanakan.


Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Norhizami Abu Hasan berkata adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk menjelaskan segera bil elektrik masing-masing setiap bulan walaupun SESB tidak melaksanakan pemotongan sejak Mac 2020 berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan oleh kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di negara ini.


Katanya lagi, keputusan SESB untuk memulakan operasi pemotongan bekalan adalah disebabkan oleh jumlah tunggakan bil pengguna yang telah mencecah jutaan ringgit.


“Rekod kami menunjukkan terdapat kumpulan pengguna yang tidak membayar bil elektrik selama lebih sembilan bulan dan secara tidak langsung keadaan ini akan memberikan impak yang besar kepada SESB,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.


Notis pemotongan untuk menjelaskan bil akan dikeluarkan kepada pengguna berkaitan bermula pada 24 Nov di mana pengguna akan diberikan tempoh selama tujuh hari bekerja untuk memastikan tunggakan bayaran bil elektrik mereka dapat dijelaskan terlebih dahulu.


“SESB faham ada pengguna yang terkesan dengan PKPB yang sedang dikuatkuasakan sekarang ini, justeru itu, SESB akan memberikan ruang kepada mereka yang mempunyai tunggakan bil elektrik berbincang dengan pihak SESB bagi mencari jalan penyelesaian yang baik,” katanya.


Sehubungan itu, pengguna yang mempunyai kekangan kewangan untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik boleh menghubungi pegawai SESB di pejabat SESB berdekatan bagi tujuan perbincangan kaedah pembayaran yang bersesuaian.


Bagaimanapun Ir. Norhizami menjelaskan pengguna yang mempunyai tunggakan bil sembilan bulan ke atas yang masih gagal untuk menjelaskan tunggakan itu, terpaksa berhadapan dengan pemotongan bekalan ke premis mereka yang akan dilaksanakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.


“SESB berharap pengguna akan dapat menjelaskan tunggakan bil mereka dengan kadar segera bagi mengelakkan bekalan ke premis mereka terjejas,” katanya.


Pembayaran bil elektrik masih boleh dilakukan melalui pelbagai saluran pembayaran antaranya di Kiosk Pembayaran SESB, Kaunter Pejabat Pos Malaysia Berhad, Perbankan Online, Ejen-Ejen Kutipan antaranya melalui e-Wallet seperti GrabPay, Shopee, Touch & Go, Lazada, MyBoost, Paynow, Panda Marketing Android, Richtech Android.Manakala bagi e-Pay Terminal boleh dilakukan di Shell, BHP, Petron, Petronas, KK Mart dan Mobility One Terminal di TM Point.


Sebarang pertanyaan boleh hubungi SESB Careline 15454, 088515000 atau melalui aplikasi Whatsapp di 019- 852 5427.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page