Bekalan ayam dan telur dijangka stabil menjelang Ramadan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

26 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ayam serta telur di pasaran tempatan berada dalam keadaan stabil dan dijangka mencukupi menjelang Ramadan bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata data kementerian menunjukkan bekalan kedua-dua barangan berkenaan ketika ini berada pada tahap stabil dan memuaskan.
Menurutnya, antara faktor berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan ialah aktiviti penyeludupan, justeru kawalan bersepadu membabitkan semua pihak berkaitan perlu diperkukuh bagi membendung aktiviti itu.
“Dalam masa sama, kementerian juga akan memastikan import ayam dilaksanakan secara seimbang supaya tidak menjejaskan pengeluaran tempatan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran selain mengurangkan import ayam sebagai langkah melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai langkah menangani tekanan kos makanan ternakan, Mohamad berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bersama Jabatan Pertanian telah membangunkan alternatif bahan mentah tempatan.
Ujarnya, ia termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly dan jagung bijirin tempatan sebagai makanan ternakan.
“Penanaman jagung bijirin tempatan termasuk projek di Perlis melibatkan keluasan 2,000 hektar dengan penyertaan awal 15 syarikat.
“Kita berusaha dan berharap bahawa ia diperluas di Sabah dan Sarawak, kerana tanah di sana masih luas. Kerajaan berharap kedua-dua wilayah itu dapat terlibat dalam projek jagung bijian ini,” katanya.














