top of page

Kerajaan pergiat usaha tamatkan nasihat perjalanan ke pantai Timur Sabah

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

26 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan terus mempergiat usaha untuk meyakinkan negara asing agar menamatkan sepenuhnya kebimbangan nasihat perjalanan ke pantai timur Sabah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau berkata, sejumlah besar daripada 25 negara yang mengenakan nasihat perjalanan tahap tiga kini telah menurunkannya kepada tahap dua, iaitu membenarkan perjalanan dengan langkah berjaga-jaga, susulan tahap keselamatan di kawasan itu yang semakin terjamin.


Menurutnya, ia adalah hasil penubuhan pasukan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bertanggungjawab menjaga keselamatan di kawasan itu, sekali gus mengatasi insiden penculikan dan rompakan oleh lanun yang berleluasa sebelum ini.


“Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, tiada lagi insiden penculikan untuk tebusan atau ancaman lanun dilaporkan berlaku di kawasan tersebut.


“Alhamdulillah, daripada 25 buah negara itu, banyak negara yang sudah pun mengurangkan tahap nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, daripada tahap tiga ke tahap dua. Maknanya boleh dilawati tapi masih lagi disebut supaya berhati-hati," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Vernon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai usaha kerajaan untuk menukar status nasihat perjalanan di pantai timur Sabah oleh negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan bagi meningkatkan produktiviti dan ketibaan pelancong di Sabah.


Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementeriannya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) turut melaksanakan usaha bersepadu bagi meyakinkan negara terbabit supaya ia dapat ditamatkan sepenuhnya.


"Kita bawa perwakilan asing yang berada di Kuala Lumpur terutama negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka, ke sana setiap tahun untuk pastikan mereka dapat melihat sendiri keadaan tidak lagi seperti dahulu.


"Hasil pengawasan dan kawalan keselamatan, khususnya di Kudat, Semporna dan Lahad Datu, kawasan Timur Sabah kini menjadi tumpuan pelancong,” katanya.


Ujarnya, jumlah ketibaan pelancong asing ke kawasan itu menunjukkan peningkatan ketara khususnya daripada Jepun yang mencatatkan kenaikan sebanyak 18.9 peratus, diikuti Korea Selatan dan negara-negara lain.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page