top of page

Projek tanaman jagung berpotensi diperluas ke Sabah, Sarawak

  • nabalunews
  • 22 minutes ago
  • 2 min read

26 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Projek penanaman jagung bijian tempatan bagi menyokong industri ternakan berpotensi diperluas ke Sabah dan Sarawak berikutan kawasan tanah yang luas dimiliki kedua-dua wilayah itu.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek itu merupakan antara langkah diambil kerajaan bagi mengurangkan beban penternak kecil dan sederhana dalam menghadapi kos bahan makanan ternakan yang tinggi.


Menurutnya, penanaman jagung bijian tempatan telah dimulakan di Perlis dengan keluasan 2,000 hektar, dan setakat ini terdapat 15 syarikat yang terlibat dalam projek tanaman tersebut di seluruh negara.


“Pada peringkat awal, kerajaan akan memberikan sokongan kerana ia memang memerlukan bantuan termasuk dari segi kewangan, logistik dan sebagainya.


“Kita berusaha dan berharap bahawa ia diperluas di Sabah dan Sarawak, kerana tanah di sana masih luas. Kerajaan berharap kedua-dua wilayah itu dapat terlibat dalam projek jagung bijian ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Richard Rapu (GPS-Betong) yang ingin tahu langkah konkrit kerajaan untuk memastikan penternak kecil dan sederhana tidak terus terbeban dengan harga import makanan ternakan.


Menjawab soalan awal Richard mengenai usaha kerajaan membantu penternak kecil dan sederhana beralih ke sistem reban tertutup, Mohamad memaklumkan antara inistiaf dilaksanakan ialah galakan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti.


Katanya, penggunaan teknologi moden seperti automasi dalam pemberian makanan pada skala besar mampu meningkatkan kecekapan pengurusan, memastikan nutrisi optimum serta memperbaiki pertumbuhan dan kesihatan ternakan.


“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut menyediakan khidmat nasihat teknikal, latihan pengurusan ladang moden, audit biosekuriti serta analisis kos dan unjuran pelaburan bagi membantu penternak mengurangkan risiko projek agar pelaburan berdaya maju.


“Inistiaf lain termasuk geran pemadanan dan pembiayaan melalui Agrobank serta institusi kewangan tempatan bagi pembinaan atau naik taraf reban tertutup dengan keutamaan diberikan kepada penternak kecil dan sederhana,” jelasnya.


Menurutnya, sehingga Disember 2025, sebanyak 19 pembiayaan bagi subsektor ternakan telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan RM62.7 juta.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page