Prestasi ringgit antara terbaik di Asia, hasil tatakelola baik – PM
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

24 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit yang berada di kedudukan terbaik di Asia ketika ini mencerminkan keberkesanan dasar tatakelola kerajaan, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian itu turut disokong oleh usaha berterusan kerajaan memastikan keamanan negara, kecekapan pentadbiran, serta ketegasan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.
“Ringgit mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan berbanding dengan negara-negara jiran tetapi seluruh Asia.
"Oleh sebab itu, kita kena kerja kuat, jaga negara dan ia bermula dengan tatakelola. Jangan ada duit lebih, masuk dalam poket, ambil komisen," katanya menurut Bernama, pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain amat penting dalam menjamin kestabilan negara, yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.
Semalam, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992, dengan kali terakhir ringgit berada pada paras itu pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.


















Comments