JENDELA Fasa 1 hampir siap, liputan internet capai 99.71 peratus
- nabalunews
- 26 minutes ago
- 2 min read

26 Januari 2026
CYBERJAYA: Pembinaan infrastruktur digital di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 telah mencapai 99.1 peratus setakat 31 Disember lepas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, daripada 1,661 menara sasaran, sebanyak 1,646 menara telah siap dibina, manakala 1,618 menara kini beroperasi sepenuhnya bagi rangkaian 2G dan 4G.
Menurutnya, keseluruhan pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.
“Bilangan premis yang diliputi rangkaian turut meningkat daripada 4.96 juta sebelum pelaksanaan JENDELA kepada 9.81 juta premis setakat Disember 2025, melepasi sasaran sembilan juta premis dan kelajuan median muat turun jalur lebar mudah alih juga meningkat kepada 143.70 Mbps.
“Setakat akhir Disember 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk telah meningkat kepada 99.71 peratus berbanding 91.8 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCMC berkata, pencapaian itu disokong inisiatif pembangunan rangkaian oleh pengendali rangkaian mudah alih, termasuk pembinaan infrastruktur 4G baharu, penaiktarafan tapak sedia ada serta perkongsian Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN).
Jelasnya, pelaksanaan JENDELA menumpukan kepada tujuh kawasan tumpuan merangkumi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), kawasan pelancongan, stadium, kawasan acara, kem tentera, hospital dan lebuh raya.
“Di IPTA, lebih 34,000 titik akses Wi-Fi telah dipasang di 126 kampus universiti, politeknik dan kolej komuniti dengan penambahan 73,768 titik akses dirancang bagi memastikan liputan menyeluruh.
“Sementara itu, kemudahan gentian optik yang disediakan di 73 kem tentera membolehkan capaian Fibre to the Home (FTTH) kepada 59,240 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT),” katanya.
Selain itu, liputan dan kapasiti rangkaian mudah alih juga diperluas di 18 IPTA dan 17 kawasan acara termasuk Sepang Circuit, SPICE Arena Penang, Sabah International Convention Centre dan Borneo Convention Centre Kuching.
Menurut suruhanjaya itu, pelaksanaan bersasar dan berfasa membolehkan liputan Internet diperluas secara lebih cekap, termasuk ke kawasan kurang berpenduduk serta sepanjang jajaran lebuh raya, menggunakan teknologi yang bersesuaian dengan keperluan setempat.
“MCMC akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan peningkatan liputan dan kualiti perkhidmatan Internet dilaksanakan secara mampan, selaras dengan objektif JENDELA Fasa 2 untuk memperluas akses Internet ke kawasan berpenduduk jarang serta koridor pengangkutan utama,” katanya.


















Comments