top of page

Bekas Ketua Bahagian USNO Kadamaian Sertai UPKO, Puji Kepimpinan Inklusif

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


28 April 2026


KOTA BELUD: Mantan Ketua Bahagian Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Kadamaian, Yehezkiel Dionisius Gamparis, yang juga Ketua Kampung Nahaba, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nahaba, Almoner Wilton, mengumumkan peralihan sokongan kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud, semalam.


Penyerahan borang keahlian kedua-dua pemimpin kampung itu diterima oleh Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, dan disaksikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian, Ukoh Jeremy Malajad.


Dalam kenyataannya, Yehezkiel menjelaskan bahawa keputusan menyertai UPKO dibuat selepas menilai hala tuju parti itu yang konsisten memperjuangkan hak rakyat Sabah, khususnya dalam isu autonomi negeri, pembangunan luar bandar, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat peribumi.


"Saya melihat kepimpinan UPKO lebih inklusif, sederhana dan fokus kepada kestabilan serta masa depan generasi muda Sabah. Ini selari dengan hasrat saya untuk menyumbang secara lebih efektif kepada masyarakat," katanya.


Beliau menegaskan bahawa keputusan itu tidak dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil pertimbangan mendalam demi memastikan perjuangannya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukan sekadar kedudukan politik.


Yehezkiel turut merakamkan penghargaan kepada USNO atas peluang dan kepercayaan yang diberikan sepanjang penglibatannya, dan menyatakan hubungan baik serta rasa hormat kepada rakan-rakan dalam USNO akan kekal walaupun beliau kini meneruskan perjuangan melalui UPKO.


Sementara itu, Almoner pula mengaitkan peralihan sokongannya kepada UPKO dengan faktor kepimpinan Presiden UPKO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


"Tertarik dengan keperibadian, kerja serta pendirian beliau dalam isu-isu besar seperti Perjanjian Malaysia 1963 dan slogan 'Sabah First'. Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang berpotensi memajukan Kadamaian dan tidak kedekut membantu rakyat pelbagai agama dan kaum," kata Almoner.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page