Bekas menteri turut desak Muhyiddin letak jawatanBekas menteri turut desak Muhyiddin letak jawatan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bekas menteri turut desak Muhyiddin letak jawatan



29 Julai 2021

Oleh Marryan Razan dan Jacquline Ebit


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerima tamparan hebat apabila beberapa bekas menteri turut mendesak mereka supaya meletak jawatan.


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen) Datuk Zaid Ibrahim berkata: “Sekiranya PM (Perdana Menteri) dan Kabinetnya tidak meletak jawatan hari ini, di mana kita rakyat Malaysia meletakkan wajah kita?


“Tidak, saya tidak bersetuju bahawa Takiyuddin harus meletakkan jawatan. Pengumuman bersejarahnya tidak akan dilakukan tanpa persetujuan PM.


“Oleh itu, harapkan kerajaan baru minggu depan. Hari ini saya berbangga dengan Raja saya. Saya menunggu Umno bertindak balas; setia pada janji mereka untuk mempertahankan kehormatan dan integriti Raja Raja Melayu,” katanya melalui Twitter.


Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan bertanya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN.


“Apa yang telah anda lakukan? Yang di-Pertuan Agong adalah "Ketua Utama Negara".


“Mengedahkan kedudukan Baginda sebagai Ketua Utama Negara hanya untuk berpegang pada kuasa adalah perkara yang paling tidak wajar!


“Pada pandangan saya, “berdukacita” adalah kata ganti kepada perkataan “murka”. YDPA masih berhati budiman dalam menegur tindak tanduk kerajaan. Jangan sampai perkataan “degil” sebagai kata ganti kepada perkataan “derhaka” keluar dari mulut baginda! #parlimen,” katanya melalui media sosial.


Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz kecewa dengan kemelut yang ditimbulkan “kerajaan pintu belakang”.


“Seperti juga dengan semua rakyat Malaysia, yang berfikiran rasional, saya merasa sangat kecewa dengan kemelut terkini, yang sedang ditimbulkan oleh Kerajaan Pintu Belakang.


“Rakyat masih terkejut dengan pengumuman bahawa darurat telah dibatalkan seminggu lalu pada 21 Julai. Hari ini dimaklumkan secara rasmi bahawa Agong tidak dimaklumkan tentang keputusan untuk membatalkan darurat itu.


“Ini adalah satu perbuatan mengetepikan peranan Agong dan tidak boleh diterima. Kerajaan ini jelas tidak mempedulikan proses demokrasi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.


bottom of page