Bekas pemimpin Warisan Penampang menyeru pengundi beri sokongan padu kepada Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Bekas pemimpin Warisan Penampang rayu pengundi beri sokongan padu kepada Ewon



17 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seorang bekas pemimpin Parti Warisan yang juga antara pengasas parti itu di Penampang Ignatius Matayun menyeru para pengundi di Parlimen Penampang supaya bersatu hati memberi sokongan padu dan mengundi calon Pakatan Harapan Datuk Ewon Benedick pada 19 November ini.


Beliau berkata, ini penting untuk memastikan kemenangan Ewon dan juga Pakatan Harapan secara keseluruhannya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).


“Saya percaya pengundi masyarakat Kadazan pintar dan bijak-bijak semua, kerana kita semua mahu perubahan kepimpinan bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat tetapi juga di Penampang.


“Ewon seorang pemimpin dan wakil rakyat Kadamaian yang dipuji oleh penduduk Kadamaian kerana kepimpinan dan kecemerlangannya membawa pembangunan di Kadamaian.


“Beliau telah melaksanakan perkhidmatan terbaik di Kadamaian, kini beliau bertanding di Penampang dan bersedia memberikan perkhidmatan terbaik untuk Penampang.


“Oleh itu pengundi Penampang harus bersatu hati memberi sokongan padu kepada Datuk Ewon bagi memastikan beliau mencapai kemenangan dengan majoriti yang besar,” katanya ketika berucap pada program bersama rakyat di Kg.Kibabaig, di sini, malam tadi.


Ignatius berkata, sokongan seluruh rakyat Malaysia terhadap Pakatan Harapan di Semenanjung semakin meningkat, maka rakyat Sabah juga harus berubah dengan sama-sama memberi sokongan padu kepada calon PH.


“Pada tahun 2018, saya berkempen untuk calon Warisan di Penampang dan saya melihat semangat pada masa itu seperti pada hari ini kerana masa itu semua mahu perubahan tetapi malangnya perubahan yang kita dapat bukan perubahan yang baik.


“Warisan sepatutnya menjadi kerajaan yang baik (2018) tetapi kepimpinan ahli parlimen yang lemah di Penampang,” katanya.


Beliau juga mengakui sejak Tan Sri Bernard Dompok tewas kepada Darell Leiking yang pada masa itu bertanding atas tiket PKR, pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tiada lagi pembangunan yang ketara di Penampang.


Katanya lagi, rakyat Penampang akan mendapat manfaat dari segi pembangunan sekiranya Adun Moyog dan Ahli Parlimen Penampang adalah orang yang berbeza.


“Perkhidmatan untuk rakyat di Penampang akan bertambah mantap dengan persaingan dua wakil rakyat yang berbeza (Adun Moyog dan Ahli Parlimen Penampang).


“Saya mendengar tiga ceramah daripada Datuk Ewon mengenai pendekatan beliau menangani atau mencari jalan mengatasi masalah banjir di Penampang, maka saya yakin dan percaya beliau dapat menyelesaikan isu-isu itu melalui kepimpinannya,” kata Ignatius.


Beliau juga mempunyai keyakinan tinggi bahawa Ewon akan mencapai kemenangan pada PRU15 ini berdasarkan sokongan rakyat Penampang.


Dalam ceramah Ewon sebelum ini, beliau mencadangkan agar satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang diwujudkan di Penampang.


Ewon berkata ia adalah antara aspirasinya untuk rakyat Penampang pada PRU15 dalam usaha memandu penyelesaian terbaik isu-isu besar termasuk masalah banjir yang dihadapi rakyat daerah ini.


Katanya, jawatankuasa tindakan khas itu akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Penampang dan dianggotai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan rakyat dan pihak berkait projek yang sedang dilaksankan.


“Antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, juruperunding, kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek, wakil penduduk kampung, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran tentang hal-hal sungai dan pertubuhan rakyat yang memperjuangkan hak rakyat mesti duduk dalam jawatankuasa itu.


“Saya percaya, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan di peringat daerah sekiranya kita boleh berjumpa secara konsisten.


“Jika ada isu-isu berada di luar kawalan jawatankuasa ini, maka menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk mengangkatnya ke Dewan Rakyat ataupun Kabinet Kerajaan,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page